Campus

Ceramah Ramadan perkukuh budaya wakaf dan saham akhirat

Berita dan gambar Aini Bahrum

SINTOK, 4 Mac 2026: Pusat Zakat dan Wakaf Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Ceramah Ramadan bertajuk “Apa yang Kita Lepaskan, Itulah yang Kekal” bertempat di Dewan Seminar, Pusat Islam, semalam.

Ceramah ini telah disampaikan oleh Pendakwah Media Sosial, Nurul Aliyatur Rafieah (Miss Aliya) yang menekankan kepentingan amalan sedekah jariah, infak dan wakaf sebagai pelaburan akhirat yang berterusan.

Menurutnya, harta yang dibelanjakan pada jalan Allah SWT bukanlah suatu kehilangan, sebaliknya menjadi saham akhirat yang pahalanya berkekalan dan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Pengisian ceramah turut diperkukuhkan dengan mafhum hadis Rasulullah SAW:

“Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 1631)

Hadis ini menjadi asas penghayatan bahawa amalan kebajikan yang dilaksanakan secara ikhlas akan terus mengalir ganjarannya walaupun selepas seseorang telah kembali ke rahmatullah.

Miss Aliya turut mengupas isu-isu fiqh wanita yang sering menjadi persoalan, khususnya berkaitan pelaksanaan ibadah puasa.

Penjelasan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa serta perbahasan berkaitan konsep rongga terbuka dan rongga tertutup menurut perspektif fiqh telah memberi kefahaman yang lebih jelas kepada hadirin, sekali gus mengelakkan kekeliruan berkaitan amalan dan rawatan perubatan ketika berpuasa.

Selain kehadiran secara fizikal, siaran langsung program ini turut mendapat perhatian di platform TikTok Miss Aliya dengan catatan sebanyak 1,100 tontonan yang mencerminkan keterlibatan digital yang positif dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga UUM atas komitmen berterusan dalam memperkukuhkan budaya wakaf di universiti ini.

Beliau menegaskan bahawa kesedaran warga UUM untuk menyumbang melalui potongan gaji serta kemudahan imbasan kod QR membuktikan bahawa wakaf kini bukan sekadar amalan bermusim, sebaliknya telah berkembang menjadi satu budaya institusi yang lestari dan berimpak tinggi.

“Komitmen ini mencerminkan kematangan dan keprihatinan warga universiti dalam menjadikan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang sistematik dan berterusan,” katanya.

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus menyemarakkan penghayatan Ramadan, memperkukuhkan kefahaman ibadah yang sahih serta memperluas budaya wakaf sebagai agenda strategik universiti dalam membina kesejahteraan bersama.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button