Campus

Pelajar Kyoto Sangyo University teruja belajar Bahasa Melayu

Berita dan gambar Dr. Ahmad Fuad Mat Hassan

SINTOK, 5 Mac 2026: “Tak kenal, maka tak cinta”, itulah pepatah Melayu yang digenggam oleh Pensyarah, Dr. Ahmad Fuad Mat Hassan dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dalam memperkenalkan bahasa dan budaya Melayu Malaysia kepada 25 pelajar Kyoto Sangyo University (KSU), Jepun yang mengikuti program English Summer Camp.

Jalinan kerjasama UUM-KSU ini mengetengahkan pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh sekreteriat UUM-KSU English Summer Camp kali ke-5 bagi tahun 2026 sebagai usaha untuk meningkat dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Di samping itu, satu slot pembelajaran asas bahasa dan budaya Melayu turut disediakan kepada mereka bagi mendedahkan kepada pelajar KSU tentang realiti sebenar bahasa, adat dan budaya Melayu serta perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam sesi pembelajaran bahasa Melayu ini, semua pelajar begitu teruja belajar cara bunyi sebutan huruf-huruf, ejaan kata, bunyi perkataan seterusnya membina ayat atau perbualan mudah dalam bahasa Melayu.

Dr. Ahmad Fuad berkata, tema bulan Ramadan menjadi topik yang dipilih dalam sesi pengajaran ini bagi menonjolkan aspek bahasa, dan budaya masyarakat Melayu. Ibadah puasa, juadah dan kemeriahan bazar Ramadan, persiapan sambutan Aidilfitri, makanan tradisi perayaan dan lagu-lagu raya menambah keterujaan mereka untuk belajar bahasa Melayu.

Sepanjang sesi berlangsung, setiap pelajar diberi peluang untuk memperkenalkan diri, bercerita tentang kisah dan latar belakang hidup mereka.

Selain itu, aktiviti berkumpulan juga dibentuk bagi menyelesaikan tugasan dengar dan tulis semula lirik lagu yang mereka dengar dalam proses pengukuhan pembelajaran bahasa Melayu.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button