Semarak ramadan: SOL anjur aktiviti gotong-royong penyediaan bubur lambuk
Gambar oleh Norjannah Nasaruddin
SINTOK, 10 Mac 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) telah menganjurkan aktiviti gotong-royong penyediaan bubur lambuk bersempena bulan Ramadan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan kakitangan.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh meriah ini mendapat penyertaan aktif daripada staf akademik dan pentadbiran SoL.

Program tahunan tersebut dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk semangat kerjasama, silaturahim dan nilai kebersamaan dalam kalangan warga SoL di samping mengekalkan tradisi penyediaan bubur lambuk yang sering diadakan setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan atas komitmen serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh warga SoL dalam menjayakan program tersebut.

Menurut beliau, penganjuran aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama staf, malah turut memupuk nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga pusat pengajian.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun warga SoL sentiasa sibuk dengan tugasan akademik dan pentadbiran, namun sokongan dan penyertaan yang diberikan terhadap program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan seperti ini amat membanggakan serta mencerminkan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan warga SoL.

Bubur lambuk yang telah dimasak secara bergotong-royong tersebut kemudiannya diagihkan kepada semua staf SoL sebagai juadah berbuka puasa.
Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga SoL untuk bersama-sama menyumbang tenaga, malah turut menghidupkan lagi suasana Ramadan dengan amalan berkongsi rezeki dan memperkukuhkan hubungan silaturahim.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini diharap dapat terus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara warga SoL serta menyemarakkan lagi penghayatan nilai-nilai murni sepanjang bulan Ramadan.
Inisiatif seumpama ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga SoL khususnya, serta warga Universiti Utara Malaysia (UUM) amnya. – Mohd Nasiruddin Abu Ghani



