Sesi Pertemuan Pelajar Pascasiswazah Baharu Semester A252 perkukuh komuniti akademik SOE
Gambar Pusat Pengajian Pendidikan
SINTOK, 12 Mac 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) melalui Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS) terus memperkukuhkan peranan dalam pembangunan akademik apabila menerima seramai 36 pelajar pascasiswazah baharu yang mendaftar bagi Semester A252.
Sehubungan itu, Sesi Pertemuan Pelajar Baharu bersama Pusat Pengajian Pendidikan telah diadakan secara dalam talian, semalam.

Kemasukan pelajar baharu ini merangkumi beberapa program pengajian yang ditawarkan di peringkat pascasiswazah termasuk Doktor Falsafah (PhD), Doktor Pendidikan (Ed.D), Sarjana Sains (MSc), Sarjana Pendidikan (M.Ed) serta Diploma Pendidikan Pascasiswazah (PGDE).
Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baharu yang memilih universiti ini sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, kehadiran pelajar baharu ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti program akademik yang ditawarkan serta kepakaran tenaga akademik di Pusat Pengajian Pendidikan.
“Saya berharap agar pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk memperkukuh ilmu, meningkatkan kemahiran penyelidikan serta menyumbang kepada pembangunan bidang pendidikan,” katanya.
Pusat Pengajian Pendidikan komited untuk terus menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta sokongan akademik yang berterusan bagi memastikan para pelajar pascasiswazah dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang. – Hasliza Shafie



