General

TISSA-UUM Perkukuh Kerjasama Strategik dengan CGIM dan ACCA

Berita dan gambar oleh: Dr. Safrul Izani Mohd Salleh

KUALA LUMPUR, 24 Julai 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) terus memperkukuh hubungan strategik dengan badan profesional menerusi kunjungan hormat ke Corporate Governance Institute Malaysia (CGIM) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada 23 dan 24 Julai lalu.

Kunjungan tersebut bertujuan menambah nilai kepada kerjasama yang telah lama terjalin, khususnya melalui pemerkasaan aktiviti sedia ada serta penerokaan inisiatif baharu yang dapat memberikan manfaat kepada pelajar dan pensyarah TISSA-UUM.

Delegasi TISSA-UUM diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali, bersama Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz; Pengerusi Program Sarjana, Dr. Mohd Hadafi Sahdan; dan Pengerusi Sijil Profesional, Dr. Safrul Izani Mohd Salleh.

Dalam pertemuan dengan pihak CGIM, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang tadbir urus korporat, integriti, etika, pematuhan, dan kepimpinan profesional.

Antara inisiatif yang dirancang termasuklah program pensijilan Chartered Governance Qualifying Programme (CGQP), seminar, sesi perkongsian, serta penglibatan pakar industri.

Kerjasama ini dijangka memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dan meningkatkan kompetensi pensyarah melalui latihan, perkongsian kepakaran, penyelidikan bersama, dan pembangunan bahan pengajaran.

Sementara itu, kunjungan ke ACCA pula memberi fokus kepada penglibatan secara langsung badan tersebut dalam pembangunan kerjaya pelajar dan pensyarah. Langkah ini penting bagi memastikan peningkatan kompetensi melalui latihan profesional, seminar teknikal, dan perkongsian perkembangan semasa bidang perakaunan menerusi aktiviti penyelidikan.

Secara keseluruhannya, kunjungan hormat ke CGIM dan ACCA ini menjadi wadah penting untuk memperkukuh kerjasama sedia ada, merancang program berimpak tinggi, serta menyokong aspirasi TISSA-UUM dan UUM dalam melahirkan graduan dan ahli akademik yang kompeten serta berintegriti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button