Education

Majlis Pengetua INASIS, JKPS UUM perkukuh kerjasama kebajikan pelajar bersama UMS

Berita dan gambar Suhaimi Ismail

KOTA KINABALU, 28 Julai 2026: Program Sinergi Kepimpinan Siswa Borneo UUM–UMS 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 25 Julai lalu berjaya memperkukuhkan hubungan strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan kepimpinan mahasiswa serta kebajikan pelajar.

Delegasi yang terdiri daripada Majlis Pengetua Inapan Siswa (Inasis), Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa (JKPS) UUM dan barisan kepimpinan pelajar telah mengadakan lawatan penanda aras ke Dapur Siswa MADANI UMS, Kolej Kediaman Tun Fuad, Akuarium & Muzium Marin UMS serta beberapa lokasi sekitar kampus.

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Pengetua Kolej Kediaman Tun Fuad, Dr. Abdul Hair Beddu Asis sebelum diberi taklimat mengenai pelaksanaan Dapur Siswa MADANI yang menyediakan makanan kepada mahasiswa secara percuma atau pada kos minimum bagi membantu meringankan kos sara hidup pelajar.

Lawatan ke Dapur Siswa MADANI memberi peluang kepada delegasi meninjau operasi dapur, sistem pengagihan bantuan makanan serta pendekatan pengurusan yang menggabungkan kerjasama pihak universiti, kepimpinan mahasiswa dan rakan strategik dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diperkasakan.

Delegasi turut melawat Kolej Kediaman Tun Fuad bagi melihat kemudahan yang disediakan kepada penghuni kolej di samping berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan kolej kediaman, pembangunan komuniti dan pelaksanaan program kepimpinan pelajar.

Selain itu, rombongan berkesempatan mengunjungi Akuarium & Muzium Marin UMS yang menjadi pusat penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti marin Sabah, sebelum meninjau keindahan landskap kampus UMS yang terkenal sebagai antara kampus universiti tercantik di Malaysia.

Dalam sesi perkongsian dua hala, delegasi UUM turut membentangkan beberapa inisiatif kebajikan pelajar yang dilaksanakan di UUM, antaranya Program Kenduri Siswa MADANI dan ResQ Pek Dapur Siswa MADANI, hasil kerjasama Majlis Pengetua INASIS, kepimpinan mahasiswa serta rakan strategik.

Wakil Majlis Pengetua Inasis UUM, Sharima Ruwaida Abbas berkata, program tersebut menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama dan bertukar amalan terbaik dalam aspek kebajikan pelajar, pembangunan kepimpinan serta pengurusan kolej kediaman.

Menurutnya, jalinan kerjasama seumpama itu mampu memperkayakan idea dan membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak program bersama yang memberi manfaat kepada pelajar di kedua-dua universiti.

Sementara itu, Dr. Abdul Hair berkata, kerjasama antara UMS dan UUM mampu memperluaskan jaringan strategik serta memperkukuh usaha melahirkan pelajar yang berdaya saing, berjiwa masyarakat dan menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI.

Program Sinergi Kepimpinan Siswa Borneo UUM–UMS 2026 diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara kedua-dua universiti dalam bidang kepimpinan pelajar, mobiliti pelajar, pengurusan kolej kediaman dan kebajikan pelajar, sekali gus menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button