UUM RANGKUL DUA ANUGERAH UTC3.0, PERKASA KEUSAHAWANAN SOSIAL KOMUNITI MELALUI INOVASI DIGITAL BUDI2BIZ
Berita dan gambar oleh: Dr. Siti Noorjannah binti Abd Halim
TANJONG MALIM, Perak, 29 Oktober 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kejayaan membanggakan apabila pasukan mahasiswa menerusi projek BUDI2BIZ: Rumah Budi Nanas merangkul dua anugerah utama, iaitu Anugerah Khas PUNB Kategori Emas dan Anugerah Pameran Terbaik dalam Program University to Community (UTC3.0), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000.
Kejayaan manis dalam satu lagi pertandingan peringkat kebangsaan menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) sebagai pusat keusahawanan universiti yang menyelaras, memupuk bakat serta memperkasa ekosistem keusahawanan mahasiswa UUM. Pengiktirafan ini turut memperlihatkan keupayaan mahasiswa universiti mengintegrasikan inovasi digital, pemindahan ilmu dan model keusahawanan sosial secara inklusif dan berimpak tinggi.

Program UTC3.0 merupakan inisiatif keusahawanan institusi pendidikan tinggi berimpak tinggi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) serta sokongan strategik Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Menerusi projek BUDI2BIZ: Rumah Budi Nanas, mahasiswa UUM berganding bahu memperkasa komuniti B40 dan miskin tegar di Kubang Pasu, Kedah melalui pembangunan perusahaan sosial berasaskan produk makanan, khususnya tart nanas dan karipap. Projek ini mengaplikasikan Market Intermediary Model (Model Perantara Pasaran), dengan Rumah Budi Nanas bertindak sebagai penghubung antara pengusaha komuniti dan pelanggan melalui aktiviti pemasaran, pengurusan tempahan serta sokongan jualan bagi meningkatkan akses pasaran, menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Keunikan utama BUDI2BIZ terletak pada inovasi digital BizAssist, iaitu aplikasi Point-of-Sale (POS) yang diadaptasi oleh mahasiswa UUM mengikut keperluan operasi Rumah Budi Nanas. Bimbingan dan latihan secara langsung, mahasiswa memperkenalkan penggunaan BizAssist kepada komuniti bagi menguruskan transaksi, rekod jualan, tempahan pelanggan dan pemantauan prestasi perniagaan secara lebih sistematik. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada rekod manual, malah memperkukuh kemahiran digital dan keupayaan komuniti menguruskan perusahaan sosial secara berterusan.
Kejayaan BUDI2BIZ turut didukung kerjasama strategik Persatuan Pengusaha Nanas Kubang Pasu yang berperanan memperkukuh jaringan komuniti, menyokong pemindahan ilmu serta meneruskan kesinambungan inisiatif SULAM Nanas dalam pembangunan keusahawanan sosial.

Pasukan mahasiswa Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) terdiri daripada Chua Hong Yun selaku ketua projek, Eak Karart Kamnun, Ang Yun Wen, Maya Syazana dan Lim Kah Shen dengan bimbingan tiga mentor iaitu, Dr. Norzalila binti Jamaludin, Dr. Siti Noorjannah binti Abd Halim dan Dr. Azrain Nasyrah binti Mustapa, dengan pemantauan serta penyelarasan menyeluruh oleh CEDI, UUM.
Anugerah Pameran Terbaik turut menyerlahkan penglibatan aktif pengusaha komuniti Rumah Budi Nanas bersama mahasiswa dalam mempromosikan produk tart nanas dan karipap berintikan kentang ayam nanas sejuk beku kepada pengunjung.
Melalui kesinambungan inisiatif SULAM Nanas, BUDI2BIZ dan kejayaan di pentas UTC3.0, penyelarasan strategik oleh CEDI dalam memacu sinergi antara universiti, mahasiswa, mentor serta komuniti jelas membuktikan komitmen berterusan UUM ke arah melahirkan graduan berdaya saing tinggi dan berjiwa komuniti. Usaha pemindahan ilmu secara kolaboratif ini bukan sahaja menterjemahkan teori kepada inovasi bernilai komersial, malah memangkin ekosistem keusahawanan sosial yang mampan demi memperluas peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan komuniti secara inklusif.



