SBM dan Tatacara Sdn bhd perkukuh hala tuju kerjasama strategik
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 13 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) terus memperkukuhkan peranan institusi dalam melahirkan graduan berdaya saing melalui kerjasama strategik bersama Tatacara Sdn. Bhd. yang memfokuskan kepada peningkatan kebolehpasaran graduan menerusi pensijilan profesional.
Perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Selangor dan Makmal OSH ini turut dihadiri oleh wakil Tatacara Sdn. Bhd., iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmanira Ismail yang juga merupakan alumni UUM yang memberi input penting dalam memperkukuhkan hala tuju kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Perbincangan ini memberi penekanan kepada pelaksanaan Persijilan OSH Coordinator (OSH-C) sebagai nilai tambah kepada pelajar, selaras dengan keperluan industri yang semakin menuntut gabungan pengetahuan akademik dan kompetensi praktikal.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Norzalila Jamaludin berkata, integrasi pensijilan profesional dalam ekosistem pembelajaran universiti merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan.
“Pensijilan seperti OSH-C bukan sahaja meningkatkan kredibiliti pelajar dari sudut kompetensi, malah memberi kelebihan nyata dalam memenuhi jangkaan industri.
“SBM komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik bagi memastikan graduan yang dihasilkan kekal relevan dan kompetitif,” katanya.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pihak turut meneroka potensi peluasan program pensijilan profesional lain yang bersesuaian dengan kehendak pasaran kerja semasa. Pendekatan ini dilihat sebagai strategi holistik dalam memastikan graduan SBM memiliki kelebihan kompetitif serta kesiapsiagaan yang tinggi untuk memasuki dunia pekerjaan.
Sebagai sebahagian daripada sesi ini, delegasi Tatacara Sdn. Bhd. telah dibawa meninjau fasiliti makmal bagi mendapatkan gambaran menyeluruh berkaitan keperluan pelaksanaan program pensijilan, selain menyentuh aspek sokongan termasuk potensi penajaan sebagai pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi tersebut.
Kerjasama antara SBM, Tatacara Sdn. Bhd. dan Career Development Center (CDC) UUM turut dizahirkan melalui pelaksanaan program Persijilan OSH Coordinator (OSH-C) yang berlangsung pada 10 hingga 12 April lalu.
Perbincangan ini diharap menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih kukuh antara universiti dan industri dalam memperkasa agenda pendidikan berimpak tinggi serta menyokong pembangunan modal insan yang berkualiti.



