Campus

HOPE DAY Perdana 2026 UUM meriah, perkukuh penglibatan organisasi pelajar

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 13 April 2026 – Penglibatan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam aktiviti kelab dan persatuan dapat mewujudkan suasana pembelajaran lebih aktif dan dinamik di samping membentuk peribadi pelajar itu sendiri.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mahu setiap mahasiswa memilih kelab dan persatuan yang sesuai dengan minat masing-masing dan terlibat dengan aktif bagi meningkatkan potensi diri.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Organisasi Pelajar Perdana (HOPE DAY) anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) yang diadakan di Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) malam tadi.

Program yang diadakan secara tahunan ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk menyertai pelbagai kelab dan persatuan di samping melatih mahasiswa menjadi lebih kreatif, inovatif serta aktif dalam organisasi pelajar.

 

Sebanyak 11 kluster badan pelajar terlibat dalam penganjuran program ini yang melibatkan sekitar 130 kelab dan persatuan di bawah seliaan JHEP UUM.

Majlis dimulakan dengan persembahan PALAPES sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program HOPE DAY Perdana 2026, Nurul Syaza Farzana Shahril.

Antara pengisian menarik yang mencuri tumpuan seperti persembahan seni pertahanan diri oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia serta Seni Silat Gayong Serantau Malaysia yang menampilkan kehebatan warisan seni bela diri Melayu.

 

Menurut Nurul Syaza Farzana, mahasiswa boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan kelab dan persatuan yang aktif di UUM sebelum membuat pemilihan organisasi yang ingin disertai.

 

Setiap reruai mengetengahkan identiti, aktiviti serta keunikan setiap organisasi pelajar di universiti dan membolehkan mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan wakil kelab.

HOPE DAY Perdana 2026 diharapkan terus menjadi platform utama dalam memperkukuh jalinan organisasi pelajar serta melahirkan mahasiswa UUM yang berdaya saing, berkarisma dan berjiwa kepimpinan tinggi.  – Noor Zafiera binti Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button