Education

Program Kelestarian dan Pemerkasaan Komuniti Projek Vertical Farming perkukuh daya tahan ekonomi komuniti FELDA

Berita dan gambar Norfaiz Ab Mutalib

SINTOK, 15 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG) telah mengadakan Program Kelestarian dan Pemerkasaan Komuniti Projek Vertical Farming dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Gerakan Peneroka Wanita (GPW) di FELDA Laka Selatan, Ahad lalu.

Program ini melibatkan seramai 40 peserta dalam kalangan komuniti projek vertical farming yang terdiri daripada penduduk setempat serta pihak pengurusan FELDA dan GPW.

Pengarah ARICG, Prof. Dr. Noor Afza Amran berkata, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengeluaran dan konsistensi hasil tanaman, di samping membimbing komuniti membangunkan model pendapatan berasaskan pertanian moden.

Selain itu, menurutnya, program ini turut memberi penekanan kepada pengukuhan struktur pengurusan komuniti dan membantu peserta mengenal pasti saluran pemasaran yang lebih efektif dan praktikal.

Antara pengisian utama program ialah ceramah bertajuk “Perancangan dan Pengurusan Kewangan Lestari” yang disampaikan oleh Dr. Noor Afza merangkap Profesor di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM.

Ceramah tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang mampan dalam memastikan kelangsungan projek pertanian komuniti.

Program turut disusuli dengan Sesi Diagnostik Projek Semasa yang dikendalikan oleh Dr. Noranida Mokthsim yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi status semasa projek, mengenal pasti cabaran utama serta mendapatkan analisis dan pandangan daripada fasilitator.

Sebagai langkah susulan, peserta bersama fasilitator telah membangunkan Pelan Tindakan Komuniti bagi tempoh tiga bulan, termasuk menetapkan sasaran pengeluaran dan jualan serta melantik penyelaras komuniti bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkesan.

Melalui peranan aktif ARICG, program ini turut menyokong komuniti dalam aspek analisis data pengeluaran dan jualan serta pembangunan model perniagaan yang berdaya maju.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu dan kepakaran, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button