SMMTC UUM Terima Dua Delegasi Antarabangsa, Perkukuh Kolaborasi Akademik dan Penyelidikan
Berita dan gambar oleh: Mohd Zuwairi Mat Saad
SINTOK, 14–16 April 2026: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menerima dua delegasi institusi pengajian tinggi dari Indonesia dalam tempoh tiga hari.
Delegasi pertama melibatkan Universitas Harapan (UNHAR) bersama ADA Research Centre, Medan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Suginam selaku Pengarah ADA Research Centre. Delegasi ini telah disambut oleh wakil SMMTC yang diketuai oleh Prof. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam, Ketua Unit Penyelidikan MIDH, SMMTC UUM.

Kunjungan UNHAR dan ADA Research Centre merupakan satu aktiviti susulan hasil daripada beberapa agenda penyelidikan dan penerbitan yang melibatkan SMMTC di Medan pada awal tahun ini.
Dalam kunjungan berasingan, SMMTC turut menerima delegasi daripada Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI) yang diketuai oleh Jayus, Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi.
Menurut Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, perbincangan yang berlangsung memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk pembangunan aktiviti penyelidikan dan penerbitan bersama, khususnya dalam bidang multimedia, teknologi media dan komunikasi serta mobiliti pelajar.
“Selain itu, SMMTC turut memberi fokus kepada usaha meningkatkan bilangan pelajar doktor falsafah (PhD) dengan menumpukan peluang menyambung pengajian kepada pensyarah dari rangkaian Universitas Muhammadiyah di Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan,” katanya.

Jelas Dr. Khairie, agenda tersebut akan digerakkan menerusi kerjasama dengan Asosiasi Pendidikan Ilmu Komunikasi Perguruan Tinggi Muhammadiyah & ‘Aisyiyah (APTIK PTMA).
Tambah beliau, kerjasama ini dilihat sebagai platform strategik dalam memperluas jaringan akademik global serta memperkasa pertukaran ilmu dan kepakaran antara institusi.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelaksanaan program yang melibatkan pensyarah dalam pelbagai aktiviti akademik, termasuk sebagai pensyarah jemputan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran antara SMMTC dan institusi pendidikan di luar negara.
Perbincangan ini juga membuka peluang kepada pelaksanaan program mobiliti pelajar secara lebih sistematik dan berimpak tinggi selaras dengan agenda pengantarabangsaan universiti.
SMMTC komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik ini dalam usaha melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global serta menyumbang kepada pembangunan ilmu dalam bidang komunikasi dan teknologi multimedia.



