Sultan Kedah perkenan terima mengadap delegasi UUM, perkembangan inisiatif Kedah Tua dibentang
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
ALOR SETAR, 21 April 2026: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman merangkap Tuanku Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkenan menerima menghadap delegasi UUM yang diketuai Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di Wisma Darul Aman, hari ini.
Dalam sesi tersebut, Dr. Ahmad Martadha telah menyembah maklum kepada Tuanku mengenai beberapa inisiatif utama universiti termasuk penerbitan buku Kedah Tua, penubuhan Galeri Kedah Tua serta penerbitan buku khas mengenai KDYMM Tuanku bersempena ulang tahun ke-10 pemerintahan baginda.

Turut dibentangkan ialah persiapan bagi Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 yang dijadualkan berlangsung pada November depan.
Beliau juga menemubual Tuanku berhubung soalan yang akan dimuatkan dalam buku Kedah Tua: Gerbang Tamadun Asia Tenggara serta pembangunan Galeri Kedah Tua yang merupakan inisiatif Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Selain itu, Dr. Ahmad Martadha turut mempersembahkan cadangan calon penerima Ijazah Kehormat bagi Majlis Konvokesyen kali ini.
Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah mantan Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Prof. Dr. Che Azlan Taib dan Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim yang bertanggungjawab mengendalikan urusan penerbitan universiti.



