Prihatin komuniti, cinta alam sekitar: 60 mahasiswa UUM jayakan bakti siswa di Sik
Gambar oleh: Abdul Razak bin Abdullah
SIK, 3 Mei: Program Bakti Siswa yang disertai seramai 60 peserta Kem Kepimpinan Organisasi Pelajar Kerohanian Inspirasi Surah Al-Kahfi (KAHFI) 2026 berjaya mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menyantuni masyarakat serta menyuburkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Program tersebut melibatkan pelaksanaan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan surau, pembersihan dewan orang ramai di Kampung KEDA serta aktiviti pembersihan sungai di Kampung Bendang Man, Sik.

Melalui penglibatan aktif para peserta, kawasan surau dan dewan orang ramai berjaya dibersihkan serta diceriakan bagi memberikan keselesaan kepada komuniti setempat untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Aktiviti pembersihan sungai turut memberi tumpuan kepada usaha memelihara kebersihan alam sekitar dengan mengutip sampah serta a bahan buangan yang boleh mencemarkan ekosistem.
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial serta kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.

Menurut salah seorang peserta program, Ahmad Asysyifa’ Abd Rahim, penglibatan dalam program khidmat masyarakat tersebut memberikan pengalaman yang sangat bermakna serta membuka ruang kepada mahasiswa untuk lebih memahami realiti kehidupan masyarakat setempat.
Beliau berkata, aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja mengajar nilai kerjasama dan kepimpinan, malah menyemai rasa tanggungjawab sosial serta kesedaran tentang pentingnya memelihara kebersihan alam sekitar.
“Program seperti ini memberi peluang kepada kami untuk turun padang dan menyumbang secara langsung kepada masyarakat. Walaupun penat, kami berasa puas apabila dapat melihat perubahan yang berlaku hasil usaha bersama,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Muhamad Khuzri, Pengerusi KEDA Resort & Holidays Sdn Bhd dalam ucapan perasmian penutup turut merakamkan penghargaan kepada para peserta atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam menjayakan aktiviti khidmat masyarakat tersebut.
Beliau menyifatkan usaha mahasiswa turun padang membantu membersihkan kawasan kampung serta sungai sebagai satu inisiatif murni yang wajar dicontohi kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah menyemai kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“Penglibatan golongan mahasiswa dalam aktiviti seperti ini amat dihargai kerana ia menunjukkan masih wujud semangat prihatin dan sukarelawan dalam kalangan anak muda untuk membantu masyarakat,” katanya.
Program berkenaan membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja berperanan cemerlang dalam bidang akademik, bahkan mampu menjadi agen perubahan sosial yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.



