Campus

SoL Reconnect Night 2026 Eratkan Hubungan Alumni dan Warga School of Law UUM

Berita dan Gambar: Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah

KUALA LUMPUR, 9 Mei 2026 – Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan SoL Reconnect Night 2026: Reuniting Minds & Memories di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bagi menghimpunkan alumni serta warga SoL dalam suasana penuh mesra dan nostalgia.

Majlis yang dihadiri kira-kira 60 para alumni Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LL.B) dan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB) serta pensyarah SoL itu bertujuan mengeratkan semula hubungan silaturahim antara alumni dengan alma mater, di samping membuka ruang kepada kolaborasi strategik dalam bidang akademik, profesional dan pembangunan pelajar.

Program ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni SoL untuk memperkukuh jaringan alumni serta menggalakkan penglibatan berterusan mereka dalam pelbagai aktiviti universiti.

Dalam ucapan aluan Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, Profesor Dr. Harlida Abdul Wahab menegaskan bahawa hubungan antara universiti dan pelajar tidak terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya berkembang menjadi satu ikatan yang lebih bermakna melalui peranan alumni.

“Tema Reuniting Minds & Memories bukan sekadar membawa kita mengimbau kenangan lalu, tetapi turut menghubungkan semula idea, pengalaman dan potensi besar yang dimiliki oleh alumni untuk terus menyumbang kepada pembangunan SoL dan UUM,” katanya.

Beliau turut menyeru alumni agar terus memainkan peranan aktif dengan menyediakan peluang latihan industri dan pekerjaan kepada pelajar dan graduan, berkongsi pengalaman profesional melalui sesi perkongsian ilmu, membina jaringan sesama alumni, menyumbang kepada inisiatif wakaf buku dan dana pembangunan SoL serta mempertimbangkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah di UUM.

Pencapaian cemerlang SoL UUM dalam penarafan antarabangsa turut menjadi kebanggaan warga dan alumni. Dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026: Law, UUM tersenarai dalam kelompok 126–150 terbaik dunia sekali gus muncul sebagai kedua terbaik di Malaysia bagi bidang undang-undang. Selain itu, dalam QS World University Rankings by Subject 2026: Law & Legal Studies pula, UUM berada dalam kelompok 351–400 terbaik dunia dan menduduki tempat ketiga terbaik di Malaysia.

Kejayaan ini, bersama-sama pelbagai kemenangan SoL dalam pertandingan akademik dan profesional di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, terus menyemarakkan semangat alumni dan warga SoL untuk mengekalkan kecemerlangan serta mengharumkan nama universiti di persada global.

Selain sesi jamuan makan malam dan meet and greet antara alumni dan pensyarah, program turut diserikan dengan tayangan montaj alumni, sesi perkongsian pengalaman oleh alumni, cabutan bertuah dan sesi bergambar sebagai kenangan. Menariknya, wakil alumni daripada kohort pertama LL.B SoL turut hadir memeriahkan majlis.

Pengerusi Program BPLB merangkap Pengarah Program, Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah menyifatkan penganjuran majlis makan malam bersama alumni ini sebagai satu kejayaan hasil kerjasama erat dan komitmen semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan program berlangsung dengan lancar.

Menurut beliau, sokongan yang ditunjukkan oleh para alumni dan warga SoL membuktikan bahawa semangat kekitaan dan rasa kasih terhadap alma mater sentiasa utuh walaupun alumni telah melangkah jauh dalam kerjaya masing-masing. Beliau berharap agar lebih ramai alumni, bukan sahaja daripada SoL tetapi juga dari pusat-pusat pengajian lain, akan terus menyumbang ilmu, budi dan bakti kepada uniutama UUM dalam apa jua bentuk dan cara demi memperkukuh kecemerlangan universiti serta memberi manfaat kepada generasi pelajar akan datang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button