STML Teroka Inovasi Pertanian Pintar di Kairos Agriculture
Berita dan gambar oleh: Dr. Azim Azuan Osman (JK Media, STML)
PERMATANG PAUH, 7 Mei 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan agenda lawatan industri ke Kairos Agriculture, Pulau Pinang bagi meneroka inovasi pertanian pintar, keusahawanan tani dan potensi tanaman bernilai tinggi berasaskan vanila.

Lawatan tersebut memberi peluang kepada warga STML untuk melihat secara langsung pendekatan Kairos Agriculture dalam membangunkan ladang vanila pintar yang menggabungkan amalan pertanian bebas bahan kimia, teknologi pertanian moden dan model perniagaan berasaskan produk hiliran. Kairos Agriculture memposisikan dirinya sebagai ladang vanila pintar pertama di Malaysia yang beroperasi di Permatang Pauh Agro-Park and Integrated Eco-Farm, Pulau Pinang.

Rombongan STML disambut oleh pengasas Kairos Agriculture, En. Ezra, yang berkongsi pengalaman mengenai teknik penjagaan pokok vanila, cabaran pengeluaran, kepentingan masa tuaian serta potensi pasaran produk berasaskan vanila. Beliau turut menjelaskan bahawa nama “Kairos” membawa maksud perfect timing, yang sangat berkait rapat dengan ketepatan masa dalam proses penjagaan dan penuaian vanila.

Menurut Pengarah Lawatan, Dr. Muzani bin Zainon, lawatan tersebut membuka perspektif baharu kepada warga STML tentang bagaimana inovasi dan ketekunan usahawan tempatan mampu mentransformasikan pertanian tradisional kepada model perniagaan moden.
“Perkongsian mengenai tanaman vanila, cabaran pengeluaran dan strategi produk hiliran sangat relevan untuk memperkaya pengajaran, penyelidikan serta jaringan industri STML, khususnya dalam bidang pengurusan operasi, rantaian bekalan, logistik dan keusahawanan,” katanya.
Antara perkara menarik yang dikongsikan ialah nilai komersial biji vanila boleh mencecah sekitar RM930 hingga RM2,400 sekilogram, bergantung kepada keadaan ekonomi dan permintaan pasaran. Peserta lawatan turut didedahkan kepada pelbagai produk berasaskan vanila yang dibangunkan oleh Kairos Agriculture, termasuk produk makanan, minuman, wangian, dan bahan mentah premium.
Program ini menyokong matlamat lawatan industri STML untuk meningkatkan pendedahan staf terhadap teknologi, inovasi, kelestarian dan potensi kolaborasi industri-akademia.
Secara keseluruhannya, lawatan ke Kairos Agriculture membuktikan bahawa sektor pertanian moden mempunyai potensi besar sebagai ruang pembelajaran, penyelidikan dan inovasi rentas disiplin yang relevan dengan hala tuju STML.



