Bekas Pengerusi ANGKASA Selangor Teroka Agenda Persijilan Kemahiran bersama Pengurusan TVET UUM
Berita dan gambar oleh: Dr. Wahida Yaakub
KUALA LUMPUR, 7 Mei 2026: Perbincangan strategik berkaitan pembangunan pendidikan kemahiran dan TVET terus mendapat perhatian apabila Universiti Utara Malaysia menerima kunjungan YBhg. Dato’ Hj. Mohd Alias Hamzah, Bekas Pengerusi ANGKASA Selangor bagi meneroka potensi kolaborasi dalam agenda persijilan kemahiran dan pembangunan kerjaya TVET.
Kunjungan yang berlangsung di UUM Kuala Lumpur itu telah disambut oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman bersama Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Hj. Ahmad dalam suasana santai namun penuh nilai strategik. Pertemuan tersebut memberi fokus kepada peluang pelaksanaan persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) khusus kepada individu yang mempunyai pengalaman industri dan kemahiran kerja.

Selain membincangkan potensi pembangunan persijilan kemahiran, sesi perkongsian turut menyentuh usaha memperkukuh laluan pembangunan kerjaya TVET, pengiktirafan kompetensi tenaga kerja serta pembangunan modal insan yang lebih relevan dengan keperluan industri semasa. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Pengurusan TVET UUM dalam memperluas akses pendidikan kemahiran secara lebih fleksibel, inklusif dan berorientasikan industri.
Pertemuan strategik ini turut mencerminkan kesediaan kedua-dua belah pihak untuk bersama-sama memperkasa agenda TVET negara melalui jaringan kerjasama yang mampu memberi impak kepada pembangunan bakat, peningkatan kompetensi dan kebolehpasaran tenaga kerja masa hadapan.



