Sorotan kemuncak BIG 2026: Dr. Faizahani sempurnakan Majlis Perasmian Penutup
Gambar oleh: AJK Multimedia, Dokumentasi dan Publisiti, Bina Insan Guru 2026
SIK, 9 Jun 2026: Program Bina Insan Guru (BIG) 2026 anjuran Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung selama empat hari tiga malam di KEDA Resort, Bendang Man, telah melabuhkan tirai dengan jayanya hari ini.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi PGDE UUM, Dr. Faizahani Abd Rahman. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pengalaman sepanjang program ini merupakan asas penting dalam membentuk jati diri pendidik.

Beliau turut mengingatkan para peserta bahawa profesion keguruan adalah satu amanah besar dalam membentuk generasi masa hadapan dan bukan sekadar platform menyampaikan ilmu semata-mata.
Sepanjang program yang bertemakan “Bina Insan Guru: Kepakaran Digarap, Citra Pendidik Dimartabat” ini, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti bagi menguji ketahanan fizikal, mental, serta memupuk semangat kerja berpasukan.
Fasa awal program dimulakan dengan aktiviti ice breaking bagi membina keserasian kumpulan, diikuti dengan slot PGDE Got Talent yang menampilkan persembahan kreatif seperti sketsa, tarian, nyanyian dan deklamasi sajak bagi meningkatkan keyakinan diri peserta.

Selain itu, aktiviti jungle trekking ke Lata Mengkuang turut dilaksanakan bagi menguji disiplin dan ketahanan fizikal peserta dalam menempuh cabaran alam semula jadi.
Bagi pengisian slot ilmiah dan pembangunan profesional, para peserta dibekalkan dengan pelbagai ilmu harian dan kerjaya yang kritikal. Antaranya termasuklah latihan asas kecemasan melalui slot Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) oleh Kedah Medical Centre (KMC), serta slot “Strategi Cemerlang Temuduga SPP” oleh Dr. Sharifah Shafie yang mengupas teknik komunikasi dan penampilan diri.
Aspek sahsiah dan kredibiliti guru masa kini turut ditekankan melalui slot “Etika dan Penampilan Profesionalisme Guru” oleh Dr. Muhd Zulhilmi Haron, manakala Dr. Zolkefli Bahador pula memberikan gambaran realistik serta strategi pengurusan melalui slot “Pengurusan Praktikum Berkesan”.

Memasuki hari terakhir, para peserta diberikan pendedahan mengenai penguasaan pedagogi moden, integrasi teknologi dan landskap pendidikan era baharu melalui slot “Bersediakah Anda Menggalas Amanah sebagai Guru Abad Ke-21?” yang disampaikan oleh Encik Anuar Othman.
Sesi Perkongsian Aspirasi bersama Dato’ Romli bin Ishak selaku Ketua Pegawai Eksekutif Cyberjaya Sdn Bhd pula menyentuh aspek kepimpinan, pembangunan diri dan kesiapsiagaan menghadapi dunia pekerjaan, di samping memberi inspirasi kepada peserta untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan kerjaya masing-masing.
Program kali ini turut diserikan dengan Majlis Makan Malam BIG 2026 bertemakan pakaian klasik yang dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), YBhg. Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim. Kehadiran beliau memberikan suntikan motivasi yang tinggi kepada bakal guru menerusi perkongsian pengalaman kerjaya yang berinspirasi.

Majlis tersebut turut meraikan kecemerlangan para pelajar menerusi penyampaian Anugerah Dekan, Anugerah Tokoh Kepimpinan, Anugerah Akademik, Anugerah Inspirasi dan Anugerah Pengarah, di samping acara cabutan bertuah.
Pada majlis penutup, Pengarah Program BIG 2026 menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, pensyarah, fasilitator dan jawatankuasa pelaksana atas komitmen tinggi yang diberikan. Program diakhiri dengan sesi fotografi kenangan, menandakan kejayaan BIG 2026 dalam melahirkan bakal pendidik yang holistik, berintegriti dan berwibawa.



