Campus

Program “Escape Quest 2026: The Hidden Trail” perkukuh kompetensi pengurusan acara pelajar STHEM

Berita dan gambar oleh: Dr. Norhafiza Md Sharif

SINTOK, 13 Jun 2026: Program “Escape Quest 2026” telah dianjurkan oleh pelajar Kursus GHZTK2133 Pengurusan Projek Acara, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dengan kerjasama Event Management, Training, Research, Activities and Consultancy (EMTRAC) ini merupakan sebahagian daripada tugasan kursus yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan konsep dan amalan pengurusan projek acara dalam situasi sebenar.

Melalui penganjuran program ini, pelajar bertanggungjawab merancang, menyelaras dan melaksanakan keseluruhan program, termasuk aspek pengurusan risiko, logistik, operasi, pemasaran, pengurusan peserta serta koordinasi jawatankuasa.

Berteraskan konsep permainan escape room, program ini dibuka kepada semua pelajar UUM sebagai peserta. Para peserta berpeluang merasai pengalaman permainan yang mencabar melalui pelbagai aktiviti yang menguji kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kritikal, pengurusan masa serta kerja berpasukan.

Dalam permainan ini, peserta dikehendaki menyelesaikan misteri The Hidden Trail melalui beberapa cabaran utama iaitu Piecing the Past, Morse Code, Labirin: Black Hole, Molecular Bridge dan cabaran akhir The Revelation. Setiap cabaran memerlukan peserta mengumpul petunjuk, menyelesaikan teka-teki serta bekerjasama dalam kumpulan bagi merungkai misteri yang disediakan.

Menurut Dr. Norhafiza Md Sharif, selaku Penasihat Program, Escape Quest 2026: The Hidden Trail merupakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan konsep dan amalan pengurusan projek acara dalam persekitaran sebenar.

“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang aspek perancangan dan pelaksanaan acara, malah membantu mereka memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah yang amat penting dalam dunia pekerjaan dan industri pada masa hadapan,” katanya.

Pengalaman mengurus acara sebenar juga memberi nilai tambah kepada pelajar dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kesiapsiagaan mereka untuk memasuki industri pengurusan acara pada masa hadapan.

Kejayaan penganjuran program ini membuktikan komitmen STHEM dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang holistik, inovatif dan berimpak kepada pelajar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button