Campus

Mahasiswa aset penting negara, perlu bina sahsiah unggul hadapi cabaran masa hadapan

Berita dan gambar oleh Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar UUM
SINTOK, 22 Jun 2026: MAHASISWA merupakan aset penting negara yang perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang tempoh pengajian di universiti untuk membina sahsiah unggul, meningkatkan kompetensi diri, serta mengasah kemahiran kepimpinan sebagai persediaan mendepani cabaran masa hadapan.
Demikian tegas Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim ketika menyempurnakan majlis penutupan Program Mahasiswa Negara IPT@UUM Siri 1/2026 yang berlangsung di Dewan Kachi, UUM baru-baru ini.
Menurutnya, universiti merupakan medan terbaik untuk membentuk diri menjadi individu yang berilmu, berintegriti, dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta masyarakat.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 Jun itu telah disertai oleh seramai 137 mahasiswa tahun pertama.
Penganjuran program ini merupakan usaha bersama antara Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar UUM, Majlis Pengetua UUM, dan Majlis Presiden JKPS/RS UUM (MPJ).
Secara dasarnya, program ini bertujuan membentuk jati diri mahasiswa, meningkatkan kemahiran insaniah, serta memperkukuh kefahaman mereka terhadap peranan sebagai warga universiti dan rakyat yang bertanggungjawab.
Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian intensif yang berfokus kepada pembangunan kepimpinan, kenegaraan, dan pembentukan sahsiah. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Slot Bicara MADANI bersama Akademi Kenegaraan Malaysia, Sembang Santai Pengurusan UUM, Interaktif Kenegaraan, Survival Cooking, slot bersama Cawangan Khas IPK Kedah, serta aktiviti Smart Tunnel yang menguji ketahanan mental dan semangat kerjasama berpasukan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan untuk mahasiswa sentiasa menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI.
Langkah ini penting bagi membangunkan potensi diri secara holistik demi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai daya kepimpinan dan keperibadian yang unggul.
“Program seperti ini menjadi platform penting dalam membentuk mahasiswa yang berdaya tahan, berintegriti, dan mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi sebagai persediaan untuk memimpin masyarakat pada masa hadapan,” ujar beliau.
Majlis penutupan tersebut turut diserikan dengan ucapan wakil peserta, tayangan montaj program, serta penyampaian sijil penghargaan dan hadiah.
Antara penghargaan yang disampaikan termasuklah Anugerah Peserta Lelaki Terbaik, Peserta Wanita Terbaik, dan Kumpulan Terbaik Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta.
Melalui pelaksanaan Program Mahasiswa Negara IPT@UUM Siri 1/2026 ini, ia diharap dapat menjadi medium berterusan dalam melahirkan mahasiswa yang berjiwa patriotik, berintegriti, dan mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda pembangunan negara.
Turut hadir Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Dr. Mazli Mutazam dan Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button