General

JKK, UUM perkasa komuniti luar bandar menerusi Program Jalinan Mesra di SMK Pedu

Gambar Jurufoto Unit Foto dan Video, JKK

KUALA NERANG, 3 Ogos 2026: Jabatan Komunikasi Korporat (JKK) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan Program Jalinan Mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedu, Kuala Nerang, Khamis lalu.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menghimpunkan warga UUM, pihak sekolah dan rakan strategik E-Idaman Sdn. Bhd. dalam semangat gotong-royong bagi menceriakan persekitaran sekolah, termasuk mengecat semula studio rakaman yang bakal menjadi platform kepada pelajar mengembangkan bakat dalam penghasilan kandungan kreatif, penyiaran dan komunikasi.

Pengarah JKK, Bakhari Che Mohamed Ariff berkata, program ini bertujuan mentransformasikan studio rakaman sekolah serta melengkapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi dan media digital yang relevan dengan keperluan masa kini.

Katanya, kehadiran universiti ke SMK Pedu bukan sekadar kunjungan rasmi, sebaliknya manifestasi tanggungjawab institusi pengajian tinggi untuk bersama-sama membangunkan masyarakat melalui pemindahan ilmu, kemahiran dan kepakaran.

“UUM bukan sekadar sebuah institusi yang melahirkan graduan berkualiti, malah turut berperanan sebagai rakan komuniti yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, membimbing dan memperkasakan masyarakat.

“Program ini bukan sekadar mencantikkan kemudahan fizikal sekolah, tetapi lebih penting membuka ruang kepada pelajar meneroka potensi diri melalui kemahiran yang mampu meningkatkan keyakinan dan daya saing mereka pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Program Jalinan Mesra Jabatan Komunikasi Korporat UUM di SMK Pedu, hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan konsep learning by doing yang diketengahkan tokoh pendidikan John Dewey, pembelajaran paling berkesan berlaku apabila ilmu diterjemahkan melalui pengalaman dan amali sebenar.

Sehubungan itu, pelajar didedahkan dengan pelbagai bengkel kemahiran media yang dikendalikan oleh pegawai JKK UUM, antaranya Bengkel Canva bagi menghasilkan reka bentuk grafik kreatif, Bengkel Fotografi untuk meningkatkan kemahiran visual serta Bengkel Penulisan Berita yang memupuk kemahiran komunikasi, penulisan dan penyampaian maklumat secara beretika.

Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya studio rakaman yang dinaik taraf sebagai medium untuk berkarya, mengasah kreativiti dan membina keyakinan diri dalam menyampaikan idea kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan SMK Pedu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), E-Idaman Sdn. Bhd. serta semua warga kerja dan sukarelawan yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.

Katanya, jalinan kerjasama yang terjalin diharap menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara universiti, sekolah dan industri demi melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.

Program Jalinan Mesra Jabatan Komunikasi Korporat UUM membuktikan bahawa pemindahan ilmu, pembangunan kemahiran dan semangat kesukarelawanan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti, selaras dengan aspirasi UUM untuk terus menjulang ilmu dan menyumbang manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengetua SMK Pedu, Nasriah Abu Bakar menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang amat bermakna dalam memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti.

Menurutnya, sumbangan UUM bukan sahaja menceriakan kemudahan sekolah melalui naik taraf studio rakaman, malah membuka peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan dalam bidang komunikasi, fotografi, reka bentuk grafik dan penulisan berita yang mampu meningkatkan keyakinan serta kreativiti mereka.

“Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan demi manfaat warga sekolah dan komuniti,” katanya.

Pelajar Tingkatan Empat, berkata, Nur Affrina Ahmad Muzznizary berkata, bengkel yang disertai hari ini memberi peluang kepadanya untuk terus menulis berita sama ada untuk media sosial mahupun berita sekolah.

“Banyak ilmu yang saya pelajari di mana sebelum ini saya hanya menulis tanpa tahu asasnya terlebih dahulu.

“Saya harap lebih banyak program sebegini pada masa hadapan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button