Ibadah korban Aidiladha erat ukhuwah, kongsi rezeki
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 7 Jun 2025:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”.
Surah al-Haj ayat 37
Hari Raya Aidiladha, atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban, merupakan salah satu perayaan terbesar dalam Islam. Ia bukan sahaja memperingati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS, tetapi juga menjadi simbol perpaduan, keikhlasan dan kepatuhan umat Islam kepada perintah Allah SWT.
Antara tempat yang meriah dan penuh dengan aktiviti semasa sambutan ini ialah Masjid Sultanah Bahiyah sempena Majlis Ibadah Korban dan Akikah 1446 Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi.
Seawal pagi laungan takbir yang bergema di seluruh masjid. Umat Islam berpakaian indah dan bersih, memenuhi ruang solat bagi menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah. Sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha diimamkan oleh Mohd Zahid Ahmad Termizi dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Beliau juga menjadi juru sembelih binatang korban.
Manakala Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohd Yusnaidi Md Sabri menyampaikan khutbah raya yang menyentuh hati, mengingatkan umat tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah.
Suasana selepas solat penuh dengan senyuman, salam dan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha antara jemaah sambil bersalam-salaman mencerminkan kasih sayang dan ukhuwah.
Usai solat, aktiviti paling ditunggu-tunggu ialah penyembelihan binatang korban. Tujuh ekor lembu, dan 22 kambing disembelih dengan penuh tertib menurut syariat, disaksikan oleh warga kampus dan ahli keluarga yang berkorban.
Disini terpancarnya suasana meriah dengan kerjasama dan semangat gotong-royong membantu dalam proses melapah, memotong dan mengagihkan daging korban.
Aktiviti korban bukan sekadar ibadah, tetapi juga ruang membina kebersamaan. Di masjid, kita dapat melihat semangat muafakat dalam komuniti.
Salah satu keindahan Aidiladha ialah agihan daging korban kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ibadah korban bukan sekadar menyembelih haiwan, tetapi menyemai kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
Majlis penyerahan daging korban disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Pusat Islam juga menyediakan juadah istimewa kepada 3,500 jemaah.
Masjid memainkan peranan besar dalam menghidupkan sambutan Hari Raya Korban. Ia bukan sahaja tempat ibadah, tetapi juga pusat penyatuan masyarakat.
Kemeriahan yang dirasai bukan terletak pada banyaknya haiwan yang dikorbankan, tetapi pada semangat keikhlasan, kerjasama dan kebersamaan yang lahir daripadanya.