Asia

Kesukarelawan di Vietnam serlah nilai kemanusiaan

Vietnam – Seorang anak kecil datang dan menyatakan sesuatu dengan penuh semangat seolah-olah menceritakan suatu perkara besar sayangnya dalam Bahasa Vietnam. Tahu bahasanya tidak difahami, kanak-kanak ini mula melukiskan garis luar bagi gelanggang futsal.

“Keinginannya yang membuak-buak menggerakkan hati kami untuk kembali turun ke lapangan selepas baru habis menyiapkan gelanggang bola tampar. Meskipun terdapat halangan bahasa, kami memahami apa yang diminta dan berusaha memenuhi impiannya apabila bersama-sama menyiapkan Sport Centre di Phuoc Loc Commune dengan projek yang diberi nama ‘Rebuilt The Future’.

“Dalam tempoh dua hari, kami berjaya menyiapkan satu-satunya gelanggang futsal di kawasan kampung ini. Melihat anak-anak kampung bermain dengan riang dengan senyuman terukir di wajah memberi kepuasan kepuasan yang tidak terhingga.

“Pengalaman ini bukan sahaja manis bagi kami sekampung, tetapi juga memberi impak kepada 487 penerima manfaat daripada usaha tersebut.”

Itu pengalaman yang dikongsikan oleh Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Amiruddin Muhammad yang menjadi sukarelawan dan duta kecil Malaysia dalam Misi Sukarelawan Siswa YSS Green Summer Volunteer Campaign (GSCV) ke Vietnam 2024, baru-baru ini.

Lebih mengembirakan hasil usaha ini berjaya menggondol dua anugerah semasa utama iaitu Best Pillar Unity and Community Empowerment dan Best Group Introduction & Location semasa sesi Majlis Penutup dan Penyampaiaan Sijil Penghargaan.

Amiruddin ditempatkan di bawah Teras 3, Kluster Kesukarelawanan YSS, iaitu Ketahanan Terhadap Impak Perubahan Iklim & Kelestarian Alam Sekitar (Climate Resilience & Environmental Sustainability) yang memfokuskan program mitigasi dan adaptasi terhadap iklim termasuk program kesedaran untuk menghadapi kesan perubahan iklim dan usaha ke arah kelestarian alam sekitar.

Kali pertama menjejakkan kaki di kampung Phuoc Loc Commune, Nha Be District, daerah pinggir Bandar Ho Chi Minh City, bandar terbesar di Vietnam memberi peluang menyelami budaya dan nilai yang dipegang teguh oleh masyarakat.

Nha Be bererti Rumah Perahu terletak di pertemuan sungai besar, iaitu Sungai Saigon dan Sungai Nha Be. Terdapat rumah kecil penduduk yang tersusun rapi di sebalik hiruk-pikuk bandar. Jalan-jalan sempit seperti jalan kampung di Malaysia dibina sebagai kegunaan jalan utama sekitar kampung Phuoc Loc Commune.

“Kanak-kanak dan kejiranan baik-baik belaka, ramah dengan senyuman dan rajin bertegur sapa setiap kali kami keluar dari Bui Thanh Kiet Primary School, tempat kami berkampung selama 30 hari peluang ini memberikan kami peluang untuk benar-benar merasai cara hidup mereka,” ujarnya.

Penduduk terdiri daripada nelayan selain petani, dan peniaga kecil. Hidup mereka berpusat pada alam dan masyarakat, gotong-royong menjadi prinsip utama dalam mengelola kehidupan sehari-hari. Tidak hairanlah kehidupan mereka begitu erat dan banyak aktiviti yang melibatkan seluruh masyarakat seperti perayaan adat dan ritual.

“Sewaktu saya berada di sana, pengalaman unik antaranya melihat tadbir urus di sekolah dan hari berkabung. Saya dapat melihat sendiri bendera Vietnam di sekolah Bui Thanh Kiet Primary School juga kawasan sekitar Kampung Phouc Loc digantung setengah dan diikat dengan bendera hitam,” katanya.

GSVC kali ini bertemakan ‘Kesukarelawanan Tunjang Perpaduan’, program yang diwakili 47 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bertujuan memupuk dan mengembangkan bakat serta melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di pentas global.

Misi sepanjang 36 hari itu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti membina rumah persahabatan, menaik taraf jalan, baik pulih taman permainan, membuat landskap di kawasan komuniti, penyediaan kawasan pembuangan sampah dan aktiviti menanam pokok.

Beliau teruja menyumbang bakti sambil menyelami budaya dan nilai yang dipegang teguh oleh masyarakat dan menyifatkan peluang ini amat berharga dalam mengaplikasikan pelajaran yang telah ditimba semasa dalam kuliah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button