Rancakkan sistem pembayaran digital
SINTOK, 13 Februari 2025: Kampus Tanpa Tunai adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk mempromosikan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai dalam kalangan pelajar, pensyarah, dan staf di universiti atau institusi pendidikan.
Untuk itu, Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pendigitalan Kampus Tanpa Tunai melancarkan Kempen Penampalan Papan Pelekat Cashless Payment di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menggalakkan penggunaan sistem pembayaran digital dalam urusan harian pelajar, staf, serta komuniti kampus.
Kempen ini menggalakkan penggunaan teknologi digital untuk memudahkan transaksi seharian seperti pembayaran yuran, membeli makanan di kantin, dan membeli buku di kedai kampus,.
Kempen ini melibatkan penampalan papan pelekat pada premis perniagaan dan kawasan tumpuan di seluruh kampus.
Aktiviti penampalan papan pelekat ini akan bermula mengikut zon yang ditetapkan. Pihak Jawatankuasa ingin memohon kerjasama daripada semua warga kampus untuk memberikan sokongan dan kerjasama semasa aktiviti ini dijalankan.
Langkah ini juga bertujuan memacu transformasi digital dalam kalangan pelajar dan kakitangan UUM melalui penggunaan teknologi tanpa tunai di seluruh kampus.
Inisiatif ini untuk memupuk kesedaran di kalangan warga kampus mengenai kepentingan sistem pembayaran tanpa tunai di semua kaunter di UUM dan pembudayaan yang menyeluruh.
Kempen ini sebagai usaha terakhir sebelum program yang disokong oleh PayNet Sdn Bhd ini ditamatkan pada bulan Mac.
Untuk maklumat lanjut mengenai Projek Cashless Campus UUM-PayNet, warga kampus boleh melayari laman web rasmi program ini di uumpay.net atau media sosial @CashlessCampusUUM-PayNet.