Campus

10 calon sulung bakal duduki Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB)

Gambar Sharif Abdus Salam Sharif Saad

SINTOK, 31 Mac 2026: Pelantikan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai salah satu Pusat Pembelajaran Bertauliah (PBB) oleh Darul Quran JAKIM bagi mengendalikan penawaran Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) merupakan satu pengiktirafan dan komitmen berterusan institusi dalam memperkasakan pembangunan kerohanian pelajar.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, pelaksanaan SPHB ini membawa pelbagai kepentingan kepada pelajar UUM, khususnya dalam memperkasakan penguasaan Al-Quran secara tersusun dan berperingkat.

Menurutnya, program ini menyediakan laluan pengiktirafan rasmi terhadap hafazan Al-Quran, sekali gus meningkatkan motivasi pelajar untuk konsisten dalam menghafaz.

Selain itu, ia turut membentuk disiplin diri, ketekunan serta keupayaan pengurusan masa yang lebih baik dalam kalangan peserta. Dalam usaha pembangunan sahsiah mahasiswa, penglibatan dalam SPHB membantu melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual dan spiritual, selari dengan aspirasi universiti.

Bagi sesi semester A252, kelas pertama telah dimulakan semalam di mana pelaksanaan program ini dirancang secara berstruktur dengan keseluruhan sebanyak 20 sesi pengajian. Seterusnya, calon dijangka akan menduduki Ujian Sijil Perakuan Hafazan Bertahap yang dijadualkan berlangsung pada 16 Jun 2026 di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu.

Penjadualan ini dirangka bagi memastikan setiap peserta mencapai tahap kesiapsiagaan yang optimum sebelum menghadapi penilaian pensijilan tersebut.

Pusat Islam UUM menyasarkan 10 calon sulung bagi menyertai pensijilan ini, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam usaha memperluas budaya penghayatan Al-Quran di kampus.

Semoga calon yang terlibat dikurniakan kejayaan dalam memperoleh pengiktirafan tersebut, seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup, sumber kekuatan jiwa dan cahaya yang menerangi perjalanan kehidupan dunia dan akhirat. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button