Campus

131 pelajar baharu sertai Pusat Pengajian Undang-undang UUM, Dua Antarabangsa Warnai Sesi 2025/2026

Gambar oleh Shaidah Shaari & Ahmad Termizi Othman

SINTOK, 24 September 2025: Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi taklimat dan perjumpaan bersama pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dan Sarjana Muda Falsafah Undang-undang Dan Peniagaan (BPLB) bertempat di dewan A Pusat Konvensyen UUM.

Seramai 131 pelajar baharu hadir pada sesi ini, terdiri daripada 110 pelajar program LLB dan 21 pelajar program BPLB. Kehadiran mereka mewakili pelbagai negeri di seluruh Malaysia, mencerminkan kepelbagaian latar belakang dan aspirasi pelajar undang-undang yang memilih UUM sebagai destinasi pengajian.

Dalam ucapan Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, menekankan tentang budaya kecemerlangan akademik, etika, adab sebagai pelajar, serta kepentingan keseimbangan antara pengajian dan penglibatan dalam aktiviti pelajar.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan:

“Pelajar undang-undang bukan sahaja dituntut untuk cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga perlu membina jati diri, integriti, dan keupayaan kepimpinan. Pusat Pengajian Undang-undang sentiasa komited melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mempunyai kemahiran insaniah yang diperlukan untuk menghadapi cabaran global masa kini.”

Bagi kemasukan sesi ini kali ini, pusat pengajian telah menerima dua orang pelajar antarabangsa, iaitu seorang dari Indonesia dan seorang dari Amerika Syarikat, yang menjadi bukti kepada keterbukaan dan reputasi global UUM sebagai destinasi pilihan untuk melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang perundangan.

Sesi ini juga memberi peluang kepada pelajar baharu untuk berinteraksi secara langsung bersama pengurusan fakulti, sekali gus mendapatkan pendedahan awal mengenai struktur program, peraturan akademik, serta kemudahan pembelajaran yang disediakan. – Asmar Abdul Rahim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button