Campus

150 pelajar UUM tingkatkan kemahiran keselamatan melalui program pensijilan OSH-C

Gambar oleh Pelajar Praktikum dan Career Buddies PPKKG 

SINTOK, 6-8 November 2025: Seramai 150 pelajar dari pelbagai program pengajian telah menyertai Program Pensijilan OSH-C Fasa 2 yang berlangsung dari 6 hingga 8 November 2025 di Bilik Seminar, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini dianjurkan hasil kerjasama UUM melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) bersama Tatacara Sdn. Bhd., bagi memberi pendedahan menyeluruh dan meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selaras dengan keperluan industri moden yang menekankan kepentingan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.

Program ini telah dilaksanakan buat kali kedua selepas fasa pertama mendapat sambutan hangat pada Jun lalu, menunjukkan minat pelajar yang tinggi terhadap program berorientasikan kemahiran praktikal ini.

Program selama tiga hari ini dikendalikan oleh jurulatih yang bertauliah, yang membimbing peserta melalui pelbagai sesi teori dan praktikal. Latihan yang diberikan merangkumi pemahaman prosedur keselamatan, pengurusan risiko, pencegahan kecederaan di tempat kerja, serta amalan terbaik untuk memastikan keselamatan diri dan orang lain.

Selain itu, peserta juga didedahkan kepada teknologi dan inovasi terkini dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekali gus menambah nilai pengetahuan mereka.

Sepanjang program, pelajar diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui simulasi dan aktiviti interaktif yang menguji kemahiran membuat keputusan dalam situasi sebenar. Setiap kumpulan juga menerima hadiah hamper bagi sesi pembentangan terbaik, sebagai penghargaan terhadap usaha mereka.

Sebagai penghargaan, setiap peserta menerima sijil penyertaan beserta kad NFC Touch and Go, yang berfungsi sebagai bukti pengiktirafan mereka sebagai Occupational Safety & Health Coordinator.

Menurut Nur Farah Johari, Pegawai Psikologi PPKKG, “Program Pensijilan OSH ini bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. PPKKG berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diterapkan dalam kerjaya mereka, sekaligus membina budaya keselamatan yang lebih baik di tempat kerja.”

Program Pensijilan OSH ini merupakan salah satu inisiatif penting oleh pihak universiti untuk memastikan graduan bukan sahaja kompeten dari segi akademik, tetapi juga mempunyai kemahiran praktikal, nilai keselamatan, dan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan diri dan orang lain, selari dengan keperluan industri semasa.

Dengan penyertaan program seperti ini, graduan UUM diharapkan mampu bersaing di peringkat profesional sambil mengamalkan standard keselamatan yang tinggi. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button