Campus

Ch4tter Coffee: Dari angan-angan menjadi kenyataan

Gambar PPKS

SINTOK: Ch4tter Coffee, kiosk kopi yang diusahakan oleh empat sahabat karib kini membuka pintunya di Inapan Siswa (INASIS) Petronas.

Empat pelajar semester tiga ini telah bekerjasama untuk merealisasikan impian mereka sebagai usahawan muda.

Diterajui oleh pelajar Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa, Luqman Hakim Zawawai bersama tiga lagi rakan seperjuangannya, Luqman Hakim Khairul Anuar, Hariz Eirfan Khairul Lizam dan Mohamad Farhan Mohamad Zainal Abidin, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa telah berkongsi modal permulaan sebanyak RM8,000 untuk membeli peralatan kopi, bahan mentah, dan keperluan lain bagi melancarkan perniagaan ini.

Pengalaman mereka bekerja di kafe terkenal, baik jenama tempatan mahupun antarabangsa, memberikan mereka asas yang kukuh untuk memulakan perniagaan ini.

Pada hari pembukaan, Ch4tter Coffee disambut dengan penuh semangat oleh warga kampus, membuktikan bahawa impian para usahawan muda ini bukan sekadar angan-angan tetapi telah menjadi kenyataan.

Harapan mereka jelas iaitu untuk menjadi pengusaha kopi yang berjaya suatu hari nanti, sambil menimba pengalaman dan mengasah kemahiran dalam dunia perniagaan.

Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha pelajar ini.

Pengarah PPKS, Khairul Anuar Adnan berkata, PPKS akan sentiasa memberi sokongan dan bimbingan untuk memastikan pelajar-pelajar ini berjaya dalam bidang keusahawanan.

“Sokongan berterusan daripada PPKS dan semangat juang yang tinggi, Ch4tter Coffee dijangka menjadi satu lagi kisah kejayaan pelajar UUM dalam dunia keusahawanan, menginspirasikan lebih ramai pelajar untuk berani merealisasikan impian mereka,” katanya.

Projek ini juga mendapat sokongan padu daripada Pengetua INASIS Petronas, Muhammad Noor Fitri Ahmad yang menyatakan keyakinan terhadap potensi pelajar ini untuk maju dalam bidang perniagaan.

Dengan dorongan dari PPKS dan pihak pengurusan INASIS serta semangat kental para usahawan muda ini, Ch4tter Coffee dijangka menjadi satu lagi kisah kejayaan inspirasi dalam dunia keusahawanan pelajar UUM. – Siti Aishah Adanan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button