292 pelajar baharu SOG melangkah penuh semangat
Gambar oleh Sr. Dr. Farahiyah Fadzil
SINTOK, 24 September 2025: Dewan Kuliah Gugusan 5/6 dan 5/7 pagi ini dipenuhi wajah-wajah baharu apabila seramai 292 pelajar mendaftar di Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Daripada jumlah tersebut, 145 orang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Awam (BPM), manakala 147 orang lagi ialah pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (BDM).
Program Kembara ke Pusat Pengajian merupakan salah satu pengisian utama dalam Minggu Suai Kenal (MSK) Semester Pertama 2025/2026 yang bertujuan memperkenalkan para pelajar baharu dengan warga akademik, staf pentadbiran serta struktur program pengajian yang bakal mereka tempuhi.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TD HEPA), Sr. Dr. Farahiyah Fadzil, yang mencabar para pelajar baharu untuk menanam tekad menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama. Beliau turut menekankan kepentingan menjaga adab dan menghormati pensyarah sebagai kunci keberkatan ilmu sepanjang pengajian.
Seterusnya, Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid, dalam amanatnya menegaskan bahawa pelajar baharu seharusnya berasa bertuah kerana berpeluang melanjutkan pengajian di UUM, sedangkan ribuan lepasan STPM, matrikulasi dan diploma di luar sana tidak berkesempatan. Justeru, para pelajar digesa agar sentiasa bersyukur, memanfaatkan peluang yang ada sebaik mungkin, serta memperkukuh diri dengan pelbagai kemahiran insaniah (soft skills) untuk melengkapkan diri sebagai graduan berdaya saing.
Program diteruskan dengan taklimat mengenai struktur program pengajian serta laluan kerjaya yang disampaikan oleh Pengerusi Program BPM dan BDM. Bagi memudahkan perbincangan lebih berfokus, pelajar dibahagikan kepada dua dewan mengikut program masing-masing.
Melalui semangat yang ditunjukkan pada sesi pengenalan ini, diharapkan para pelajar baharu SOG bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berakhlak mulia, berdisiplin dan berdaya kepimpinan, seiring aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka.
Kesemua pensyarah dan staf pentadbiran turut hadir memeriahkan sesi berkenaan.