Campus

30 pelajar antarabangsa UUM sertai Program Magnet 2025 di Melaka

Gambar oleh Delia Ananta Bilqis

MELAKA, 14 Oktober 2025: Seramai 30 pelajar antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program “Meet and Greet with International Students (MAGNET 2025)” yang diadakan di Dataran Pahlawan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Pelajar antarabangsa yang mengambil bahagian dari pelbagai negara termasuk Perancis, Uzbekistan, Palestin, Indonesia, Timor Leste, Somalia, Arab Saudi, dan Nigeria, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya komuniti antarabangsa di UUM.

Program MAGNET 2025 yang menghimpunkan hampir 1,500 pelajar antarabangsa daripada 40 institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia, mendedahkan pelbagai aktiviti menarik bertemakan warisan dan kebudayaan tempatan kepada mereka.

Pelajar-pelajar UUM turut menyertai beberapa pertandingan seperti Heritage Trail, permainan tradisional Konda Kondi, pertandingan karaoke lagu Melayu, serta pertandingan hiasan khemah antarabangsa.

UUM telah muncul sebagai Naib Johan apabila bertanding dalam tiga kategori iaitu Heritage Trail, Konda Kondi, dan Karaoke Lagu Melayu.

Penolong Pengarah, Pusat Hal Ehwal Kerjasama dan Antarabangsa, Muhammad Hafidz Baharudin berkata penyertaan ini memberikan peluang besar kepada pelajar antarabangsa untuk memahami dan menghargai kepelbagaian budaya negara ini.

“Program seperti ini sangat bermanfaat kerana bukan sahaja memperkenalkan budaya tempatan kepada pelajar antarabangsa, tetapi juga menjadi platform untuk mereka berinteraksi dan bertemu rakan negara lain dalam suasana mesra dan santai,” katanya selaku pegawai pengiring.

Program ini adalah merupakan anjuran Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (BPPT), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Turut hadir, Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) UUM, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar, yang turut merakamkan penghargaan atas penyertaan aktif pelajar antarabangsa UUM dalam program tersebut yang secara tidak langsung memperkukuh imej UUM sebagai universiti bertaraf antarabangsa. – Muhammad Hafidz Baharudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button