Pendaftaran pelajar baharu Pasca Siswazah UUM Colgis sesi A251 meriah dengan kehadiran pelajar tempatan dan antarabangsa
Gambar oleh Nur Nabila Natasha Othman
SINTOK, 24 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) telah menerima seramai 44 orang pelajar baharu pascasiswazah bagi semester pertama sesi akademik 2025/2026 (A251).
Daripada jumlah tersebut, seramai 10 orang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) yang terdiri daripada 8 orang pelajar tempatan dan 2 orang pelajar antarabangsa. Sementara itu, seramai 34 orang mengikuti pengajian Sarjana, dengan pecahan 24 orang pelajar tempatan serta 10 orang pelajar antarabangsa. Kehadiran pelajar antarabangsa ini secara tidak langsung memperkaya komuniti akademik universiti dengan kepelbagaian budaya, pengalaman, dan perspektif global.
Bersempena dengan kemasukan ini, sesi pendaftaran dan taklimat pengajian telah diadakan secara bersemuka pada 24 September 2025. Majlis ini turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Dekan, Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis yang mewakili Dekan GSGSG.
Dalam ucapan beliau, Timbalan Dekan menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada para pelajar baharu atas pemilihan mereka terhadap UUM sebagai destinasi pengajian pascasiswazah.
“Kemasukan anda ke UUM COLGIS adalah satu langkah penting dalam perjalanan ilmu dan kerjaya. Di sini, anda bukan sahaja akan dilatih untuk menjadi pemikir yang kritis dan penyelidik yang berkualiti, malah juga pemimpin yang berintegriti.
Manfaatkan peluang ini untuk membina jaringan akademik, memperkayakan pengalaman, serta menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan komuniti universiti kita. Sesungguhnya kejayaan anda bukan sahaja milik diri sendiri, tetapi juga sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa tempoh pengajian di UUM bukan sahaja medan untuk menimba ilmu, bahkan merupakan ruang bagi pelajar untuk meneroka pengalaman baharu, memikul amanah terhadap pembelajaran, serta menghargai kepelbagaian budaya melalui jalinan ukhuwah bersama rakan-rakan dari pelbagai latar belakang.
Selain itu, para pelajar baharu turut diberi pendedahan awal mengenai kemudahan dan sokongan akademik universiti. Pn. Wan Hanis Kamarruddin dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berkongsi maklumat berkaitan fasiliti perpustakaan, koleksi rujukan serta perkhidmatan yang disediakan, yang turut dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp rasmi pelajar baharu.

Manakala En. Mohd Solehhuddin Ab Mutalib dari UUMIT pula memberikan penerangan mengenai penggunaan Portal UUM sebagai medium utama pengurusan akademik dan pentadbiran pelajar.
Pendaftaran ini sekali gus menandakan permulaan perjalanan akademik yang penuh harapan, cabaran dan peluang bagi para pelajar pascasiswazah UUM COLGIS, selaras dengan visi universiti sebagai peneraju pengurusan dan kepimpinan yang unggul di peringkat antarabangsa. – Nurul Hamiza Hamzah



