Campus

362 pelajar baharu terima tawaran melalui rayuan dan saluran terbuka

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 14 Oktober 2025: Seramai 362 pelajar baharu telah menerima tawaran kemasukan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Sesi Akademik 2025/2026 melalui permohonan rayuan dan saluran terbuka (open channel).

Daripada jumlah tersebut, 300 orang merupakan pelajar yang berjaya melalui permohonan rayuan, melibatkan 91 lelaki dan 209 perempuan. Sementara itu, 62 orang lagi diterima masuk melalui saluran terbuka, terdiri daripada 16 lelaki dan 46 perempuan.

Kemasukan pelajar melalui kedua-dua saluran ini menunjukkan komitmen UUM dalam memberikan peluang pendidikan kepada lebih ramai lepasan prauniversiti yang berpotensi, selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan berilmu, berdaya saing dan berintegriti.

Bagi Hannah Athirah binti Mohamad Shaiful Ashrul, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian, perasaan teruja, bahagia dan bersyukur tidak dapat digambarkan apabila namanya tersenarai sebagai pelajar baharu UUM.

“Saya rasa sangat bahagia dan bersyukur kerana berpeluang menyambung pengajian dalam bidang yang saya minat. Ini merupakan cita-cita saya sejak dahulu,” katanya.

“Saya berharap dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk tersenarai dalam Dean’s List dan juga berharap dapat menjadi mahasiswa yang aktif dalam aktiviti kokurikulum,” katanya penuh semangat.

Sementara itu, Navindren Nair A/L Logeswaran, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, turut melahirkan rasa sangat gembira kerana berjaya menempatkan diri di UUM dalam kursus pilihan pertamanya.

“Saya memang letak UUM sebagai pilihan pertama sebab saya minat bidang perakaunan. Saya berazam untuk mencapai keputusan cemerlang setiap semester dan seterusnya tersenarai dalam dekan supaya tidak perlu bergantung kepada pinjaman PTPTN,” katanya.

 

Namun, dalam masa sama, saya juga mahu meneroka pengalaman baharu seperti menyertai kelab, menjalankan aktiviti dengan rakan-rakan dan bergaul dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, dalam ucapannya menyampaikan tahniah kepada semua pelajar baharu yang berjaya mendapat tempat melalui saluran rayuan dan terbuka.

“Setiap pelajar yang diterima ke UUM berpotensi besar untuk berjaya jika mereka berusaha bersungguh-sungguh. Gunakan peluang ini untuk menimba ilmu, membina jaringan dan memperkaya pengalaman supaya anda dapat menjadi graduan holistik yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Petugas universiti serta sukarelawan pelajar turut memainkan peranan penting dalam melancarkan proses pendaftaran, selain memastikan pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus yang hijau dan kondusif.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button