Pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan tingkat kesedaran warga akademia
Gambar oleh Muhamad Arief Fitri Shafie
SINTOK, 28 Oktober 2025 – Bagi memperkukuh amalan keselamatan di tempat kerja, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Sesi Perkongsian Pengurusan Risiko Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk Akademia yang berlangsung di Bilik Kedah, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM). Program ini dianjurkan oleh SBM dengan kerjasama Pejabat PNC UUMCOB.

Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko UUM. Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di industri dan kementerian, menekankan kepentingan mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko bagi mengelakkan kemalangan serta penyakit pekerjaan. Beliau turut berkongsi amalan terbaik untuk memahami risiko OSH dalam dunia akademia.
Menurut beliau, pengurusan risiko yang berkesan bukan sahaja dapat mencegah kecederaan dan kehilangan nyawa, malah membantu organisasi mencapai produktiviti yang lebih tinggi melalui persekitaran kerja yang sihat dan selamat.

Program tersebut turut dihadiri hampir 28 orang kakitangan akademik dan pentadbiran yang berpeluang mengambil bahagian dalam sesi soal jawab dan perbincangan interaktif mengenai cabaran pelaksanaan OSH di tempat kerja masing-masing.
Penganjuran sesi ini diharap dapat menyemai budaya kerja selamat serta memperkukuh komitmen organisasi terhadap prinsip “Zero Accident Workplace”, selaras dengan aspirasi universiti untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan sejahtera.
— Nur Hazlina Ghazali



