Alumni kembali ke UUM bantu persiap pelajar harungi pasaran kerja
SINTOK: Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Big Dataworks Sdn. Bhd. yang berlangsung semalam ibarat mengembalikan nostalgia Ketua Pegawai Eksekutif Big Dataworks.
Sheriza Zakaria merupakan alumni UUM bagi Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat pada 1998.
Menurutnya, pemeteraian MoU itu merupakan kerjasama yang bakal dilaksanakan antara pihaknya dengan UUM melalui Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA UUM).
MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dengan Sheriza.
Dr. Mohd Foad mengharapkan agar kerjasama ini memberikan manfaat kepada semua pihak dan lebih ramai alumni UUM yang telah berjaya di luar sana dapat kembali menaburkan bakti mereka di UUM.
Kerjasama ini akan memberi ruang kepada pihak Big Dataworks Sdn. Bhd. untuk mendedahkan pelajar UUM terutamanya pelajar TISSA berkaitan dengan penganalisaan data untuk mempersiapkan mereka ke pasaran kerja kelak.
Melalui kekuatan pihak Big Dataworks Sdn Bhd. akan cuba untuk mencurahkan baktinya kembali kepada alma mater berdasarkan kepada kepakaran dan kekuatan institusi mereka.
Majlis MoU yang berlangsung di Balai Tamu itu turut dihadiri Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang juga Dekan TISSA UUM serta Penasihat Undang-Undang UUM, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed serta penjawat TISSA lain. – Abdul Razak Abdul Wahab