Campus

Alumni UUM kongsi kesedaran bahaya jenayah narkotik

Gambar Khairul Azman

SINTOK, 8 Januari 2025: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Kokurikulum telah menganjurkan program ceramah yang mengetengahkan ancaman tersembunyi kepada keselamatan dan kesihatan.

Seramai 200 peserta hadir termasuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, Akademi Bina Malaysia (ABM), Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UUM, dan kakitangan UUM serta komuniti luar.

Program ini bertujuan meningkatkan pemahaman mereka mengenai jenis-jenis narkotik, dan langkah-langkah pencegahannya.

Program ini menampilkan alumni UUM iaitu Inspektor Mohammad Aqram Md Saupi dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kubang Pasu sebagai penceramah utama bersama moderator, Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad.

Inspektor Mohammad Aqram, yang juga merupakan alumni Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (2020) menyampaikan ceramah mendalam mengenai kesan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, ramai dari kalangan pelajar institusi yang terjerumus dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, langkah utama untuk mencegah masalah ini adalah dengan menjauhkan diri daripada situasi berisiko, terutama yang melibatkan pengaruh negatif.

Beliau turut menegaskan bahawa salah memilih rakan adalah punca utama kebanyakan pelajar terlibat dengan dadah.

“Lingkungan sosial yang negatif berpotensi besar untuk membawa seseorang kepada tingkah laku tidak bermoral,” katanya.

Kolaborasi antara Pusat Alumni dan Pusat Kokurikulum dalam menganjurkan program ini menonjolkan usaha bersama UUM dalam mendidik komuniti kampus mengenai bahaya narkotik.

Program ini bertujuan bukan sahaja untuk memberikan maklumat, malah untuk membentuk generasi yang lebih peka terhadap keselamatan, kesihatan, dan kesedaran jenayah dalam memastikan kampus kekal selamat dan harmoni.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pusat Alumni UUM, Amelia Hakimi. – Nurain Ahmad Nasri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button