Alumni UUM suntik minda positif pelajar
Gambar Lauraclara William
SINTOK, 2 Julai 2025: “Pelajar universiti perlu sentiasa memiliki ‘great mindset’ dalam mendepani cabaran hari ini. Berfikiran positif, rasional, kreatif dan kritis merupakan antara ciri pelajar yang diperlukan oleh negara untuk mencorakkan kepimpinan negara pada masa akan datang,” kata Pensyarah Kanan di Institut Aminuddin Baki (IAB), Adi Hassim pada Program Borneo Alumni Inspirational Legacy Talk bersempena Majlis Simfoni Malam Biru, baru-baru ini.
Katanya, pelajar perlu memiliki ciri unggul yang menjamin untuk mereka kekal relevan dalam persaingan sengit bersama dunia digital yang semakin mengikat keterbatasan kemahiran manusia.
Menurutnya, apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin diterima dunia disebabkan kemampuan luar biasa dalam mengganti tenaga manusia, keperluan graduan universiti mungkin akan dipandang sisih oleh pasaran pekerjaan.
“Walau bagaimana pun, secara hakikatnya, AI masih dikendali oleh manusia kerana ada nilai yang tidak boleh diuruskan sendiri dengan kecekapan AI.
“Bagi menandingi kehebatan dunia digital sekarang, pelajar perlu berupaya untuk meramal risiko dan apa ganjaran atau peluang yang berada di sekeliling tanpa perlu menunggu kejayaan untuk datang sendiri, sebaliknya usaha perlu dilakukan,” katanya.
Justeru Adi berkata, pelajar hendaklah menetapkan matlamat di awal pengajian dan bijak merancang, serta menyusun gerak kerja seterusnya melaksanakan tindakan terhadap apa yang telah dirancang.
Beliau yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Master Trainer di Institut Aminuddin Baki menyampaikan wacana alumni di hadapan kira-kira 100 pelajar di EDC UUM yang turut dihadiri dalam program anjuran Kelab Patriot Chapter (KPC) Sabah itu ialah Roslee Mardan selaku Penasihat KPC Sabah.
Adi Hassim merupakan alumni UUM tahun 1998 hingga 2002 dalam bidang Pengurusan Pelancongan. Sebagai seorang aktivitis pelajar, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Exco Hubungan Antarabangsa, Majlis Perwakilan Pelajar. – Ally Elvi Loting