ANGKASA jadikan UUM penanda aras Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP)
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 10 Disember 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kedatangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang mengadakan lawatan penanda aras Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), hari ini.
Delegasi yang diketuai oleh Anggota Lembaga ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik bersama lapan staf disambut mesra oleh staf RMD yang diketuai oleh Pengarahnya, Shahrul Nizam Ahmad.
Program ini dimulakan dengan sesi pengenalan kepada UUM yang menonjolkan pencapaian universiti serta komitmennya dalam menyediakan persekitaran kampus yang selamat dan sihat.
Sesi taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah RMD, Ts. Dr. Syazwan Syah yang menerangkan secara terperinci mengenai sistem pengurusan KKP di universiti. Antara perkara utama yang diketengahkan adalah struktur pengurusan organisasi RMD dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) UUM.
Taklimat turut merangkumi pelbagai program latihan keselamatan yang disediakan oleh unit-unit di bawah RMD, bertujuan meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan komuniti universiti dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Bahagian Pengurusan Risiko, Tadbir Urus & Integriti (BPRTI), ANGKASA juga berpeluang berkongsi pendapat serta bertukar idea mengenai amalan terbaik dan strategi untuk memperbaiki sistem pengurusan KKP di organisasi masing-masing.
Anggota Lembaga ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman berkata, lawatan ini memberi peluang kepada delegasi ANGKASA untuk mempelajari bagaimana UUM berjaya melaksanakan sistem KKP yang tersusun serta mengintegrasikan langkah keselamatan ke dalam kerangka operasinya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap usaha UUM dan merancang untuk mengadaptasi beberapa inisiatif yang dikongsikan dalam lawatan ini ke dalam amalan keselamatan dan kesihatan mereka.
Kedatangan delegasi ANGKASA turut diraikan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.
Kerjasama seperti ini membuktikan komitmen UUM dalam mempromosikan perkongsian ilmu serta meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan bukan sahaja di kampus tetapi juga di peringkat nasional. – Nor Maisarah Mohamed Ali (Pelatih dari UiTM Shah Alam)