Back to Nature: Peserta SEFB Summer School jelajah hutan Sintok
Gambar SEFB
SINTOK, 7 Mei 2025: Seramai 50 peserta SEFB Summer School Program telah menyertai aktiviti jungle trekking di hutan Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai sebahagian daripada pengisian program musim panas anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
Pensyarah kanan SEFB, Khairul Anuar Adnan berkata, peserta kelihatan teruja dan tertarik dengan keindahan serta kehijauan semula jadi Hutan Sintok yang kaya dengan flora dan fauna.
Menurutnya, program ini turut disertai oleh 15 buddies SEFB dan dikawal selia oleh empat jurupandu keselamatan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang aktiviti berlangsung.
“Program ini juga merupakan salah satu aktiviti yang bertujuan untuk mempromosikan hutan hujan UUM kepada pelajar-pelajar mobiliti antarabangsa, sekali gus memperkenalkan keunikan ekosistem tropika kampus kepada komuniti global,” katanya.
Perjalanan bermula dari Agrofarm SEFB dan melalui beberapa lokasi menarik seperti hidden lake, titi gantung, sebelum berakhir di kawasan ikonik Pokok Tiga Beradik. Pengalaman ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mendekati alam semula jadi, malah turut mengeratkan hubungan antara pelajar antarabangsa dan tempatan.
Perjalanan menjadi agak mencabar berikutan hujan lebat yang turun pada hari sebelumnya, menyebabkan sebahagian laluan menjadi licin dan berlumpur. Namun begitu, semua peserta berjaya mengharungi cabaran tersebut dengan semangat yang tinggi dan selamat tiba di destinasi terakhir.
Pelajar Prince of Songkla University (PSU) Kampus Trang, Thailand, Rakchanok Ongkaew meluahkan rasa teruja dan kagumnya terhadap aktiviti ini.
“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti jungle trekking seperti ini dan tidak menyangka UUM mempunyai tasik yang cantik dan hutan tropika yang begitu menarik,” katanya.
Sementara pelajar dari Sekolah Tinggi Trang, Kawintida Chuthong pula menyifatkan aktiviti ini sebagai satu cabaran fizikal dan mental yang menyeronokkan.
“Laluan yang kami tempuhi agak mencabar, naik bukit, turun bukit dan melintasi anak sungai. Saya perlu kuat untuk sampai ke destinasi terakhir,” katanya sambil tersenyum bangga.
Aktiviti seperti ini bukan sahaja mendidik peserta tentang kelestarian alam sekitar, malah membentuk nilai-nilai kerjasama, ketahanan diri dan rasa cinta terhadap alam semula jadi. – Khairul Anuar Adnan