Bahagian Pengurusan Risiko terima kunjungan penanda aras daripada MSSAAS
Gambar oleh Muhammad Haniff Umar Muhamad Tarmizi
SINTOK, 15 OKTOBER 2025: Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) telah menerima kunjungan hormat dan lawatan penanda aras daripada delegasi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam yang diketuai S.F. Dato’ Muhammad Farhan bin Wijaya, Imam Besar Masjid; turut serta dalam delegasi tersebut iaitu Datuk Azli Bin Halim, CEO Santai Travel; Muhammad Shahrul Akbar Bin Mohd Rafy, Ketua Unit Dakwah Domestik; Mohd Luqman Hakkim Bin Rizuan, Ketua Unit Pengurusan Am; Hazizul Bin Masdin, Pembantu Hal Ehwal Islam; Farid Fazuan Bin Nurdin, Pembantu Tadbir; Mohd Rafie Bin Mohd Hanafee; Pembantu Hal Ehwal Islam; Ahmad Rijaluddin Bin Ishak, Masjid Negeri Selangor Guide (MNSG).
Lawatan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Canselori itu bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan menanda aras amalan terbaik dalam bidang pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Delegasi seramai lapan orang daripada MSSAAS tiba pada jam 9:00 pagi dan disambut mesra oleh barisan pengurusan RMD.
Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Encik Shahrul Nizam B. Ahmad, yang menzahirkan rasa berbesar hati atas kesudian pihak MSSAAS ke Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai destinasi lawatan penanda aras mereka.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran delegasi dari sebuah institusi ikonik seperti MSSAAS. Sesi seperti ini merupakan platform terbaik untuk kita bertukar pandangan, berkongsi pengalaman, dan memperkukuh amalan pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di organisasi masing-masing,” ujar beliau dalam ucapannya.
Dalam ucapan aluan balas S.F. Dato’ Muhammad Farhan bin Wijaya berkata lawatan ini amat bermanfaat dalam memberikan pendedahan dan input berharga yang boleh diadaptasi bagi memperkasakan lagi tadbir urus di masjid negeri itu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak RMD kesudian menerima lawatan dari MSSAAS. Sesungguhnya kunjungan kami ini adalah bagi memperoleh pengetahuan dan gambaran jelas tentang pengurusan KKP yang terbaik untuk di adaptasi di organisasi kami” katanya.
Para delegasi kemudiannya diberikan taklimat komprehensif mengenai rangka kerja, polisi, dan pelaksanaan pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang diamalkan di Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) , Universiti Utara Malysia (UUM). Sesi perbincangan dua hala yang interaktif turut diadakan, di mana kedua-dua pihak aktif bertukar idea dan bertanya soalan mengenai cabaran serta strategi dalam mengurus risiko operasi, kewangan, dan reputasi.
Lawatan diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan dan jalinan kerjasama. – Nurulwajhi Yahaya