Campus

BAHTERA gerak agenda kebajikan dan kesejahteraan warga UUM

Gambar Norazlina Mahmud

SINTOK, 9 Mac 2026: Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Universiti Utara Malaysia (BAHTERA) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali pertama bagi tahun 2026 menandakan permulaan rasmi perjalanan persatuan tersebut dalam menggerakkan agenda kebajikan dan kesejahteraan yang lebih tersusun di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor itu dipengerusikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang juga merupakan individu yang mencetuskan idea penubuhan BAHTERA.

Untuk rekod, BAHTERA telah didaftarkan secara rasmi pada Mac 2025 sebagai sebuah platform yang memfokuskan kepada pengurusan hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan individu yang mempunyai kaitan dengan universiti, di samping memperkukuhkan peranan universiti dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara lebih menyeluruh.

Dr. Ahmad Martadha berkata, antara objektif utama persatuan ini ialah menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan pusat jagaan yang selesa serta selamat kepada golongan yang memerlukan seperti anak yatim, anak asnaf, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.

Selain itu, menurutnya, BAHTERA juga berperanan mengawal selia dan memantau aktiviti serta program yang dilaksanakan di pusat jagaan agar sentiasa selari dengan peraturan serta garis panduan penubuhan persatuan.

Dalam masa yang sama, BAHTERA turut merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti serta program bagi menjana dana persatuan, sekali gus memastikan kelangsungan inisiatif kebajikan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berterusan.

Penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan kali pertama ini juga menjadi platform penting bagi memperkukuhkan tadbir urus persatuan serta menyelaras perancangan program kebajikan yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan demi manfaat warga universiti dan komuniti yang memerlukan. – Azam Arni Mohd Noor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button