Bahtera perkukuh agenda kebajikan, staf PPKTIS terima sumbangan zakat dari PZW
Berita dan gambar oleh Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 9 Mac 2026: Keprihatinan terhadap kebajikan warga kampus terus dizahirkan apabila Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PZW) menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM14,250 kepada kakitangan Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Tunku Puteri Intan Safinaz UUM (PPKTIS) sempena Majlis Iftar Perdana Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026/1447 Hijrah yang berlangsung semalam.
Sumbangan zakat tersebut melibatkan 19 orang staf PPKTIS, dengan setiap seorang menerima RM750, sebagai bantuan kebajikan bagi meringankan beban serta menyokong kesejahteraan mereka.

Cek sumbangan zakat itu telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff kepada Pengerusi Lembaga Pengelola PPKTIS, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman.
Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Naib Canselor UUM yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Universiti Utara Malaysia (BAHTERA), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah Ketua Lembaga Pemegang Amanah Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf UUM (RUKAYDA), Mohd Yusnaidi Md. Sabri, yang juga berada di bawah naungan BAHTERA, selain wakil PZW, Puan Aini Bahrum.
Menurut Prof. Madya Dr. Rohana, sumbangan zakat tersebut amat bermakna kepada staf PPKTIS dan mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan kebajikan warga yang menyumbang kepada pembangunan komuniti universiti terus diberi perhatian.
“PPKTIS memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti kepada anak-anak warga universiti. Sumbangan zakat ini merupakan satu bentuk sokongan moral dan kebajikan kepada staf yang sentiasa komited menjalankan amanah mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa PPKTIS merupakan antara institusi yang berada di bawah naungan Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Universiti Utara Malaysia (BAHTERA), yang berperanan memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan komuniti universiti melalui pelbagai inisiatif bantuan sosial serta program sokongan kepada warga yang memerlukan.
Majlis tersebut sekali gus mencerminkan semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan, perkongsian rezeki dan kebersamaan, selaras dengan usaha universiti dalam memperkukuh ekosistem kebajikan dalam kalangan komuniti UUM.



