Batik Tanah Lembah Bujang tarik perhatian di Festival of Idea @ Kedah 2025
Berita dan gambar Dr. Asmidah Alwi
SINTOK, 12 Oktober 2025: Projek komuniti Batik Tanah Lembah Bujang (BTLB) telah mencuri tumpuan apabila turut serta dalam Festival of Idea @ Kedah (FOI2025) yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penyertaan ini bukan sahaja memperkenalkan hasil seni batik tempatan berasaskan tanah kepada khalayak lebih luas, tetapi juga membuka ruang jaringan dan pertukaran idea dengan pelbagai pihak yang hadir ke festival tersebut.
BTLB merupakan projek komuniti yang dijalankan di Kampung Hilir, Merbok oleh sekumpulan pensyarah penyelidik daripada Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) serta Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Dr. Asmidah Alwi daripada SCIMPA.
Dr. Asmidah berkata, Batik Tanah Liat yang diperkenalkan melalui projek ini merupakan inovasi seni tekstil yang menggunakan tanah sebagai elemen asas penghasilan corak batik menjadikannya unik berbanding batik canting yang lebih konvensional.
Selain itu, menurutnya, BTLB juga menonjolkan motif-motif yang disertai dengan penceritaan (storytelling) berinspirasikan elemen sejarah dan warisan Kedah Tua serta geo-arkeologikal dan biodiversiti yang terdapat di dalam Jerai Geo-Park.
“Sebagai sebuah projek berteraskan pembangunan komuniti, projek ini sekali gus memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat.
“Penyertaan dalam FOI2025 memberi peluang kepada pasukan penyelidik untuk memperkenalkan hasil seni berteraskan warisan tempatan kepada masyarakat malah, telah membuka ruang kerjasama baharu dalam pembangunan komuniti kreatif yang mampan,” katanya.
Festival of Idea @ Kedah 2025 yang dianjurkan oleh UUM menjadi platform penting untuk menghimpunkan pelbagai idea, inovasi dan hasil penyelidikan daripada komuniti akademik, industri, dan masyarakat.
Melalui acara seperti ini, projek seperti BTLB dapat terus berkembang sebagai simbol keindahan warisan, kreativiti, dan keusahawanan sosial yang mampan.