Campus

Battle of STEM 2026 pupuk minat STEM dalam kalangan murid SK Padang Pekan, Jitra

Gambar oleh Dr. Ayu Abdul Rahman

SINTOK, 10 Februari 2026 – Program Battle of STEM: Structural Design Competition telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia (UUM) dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang, menghimpunkan penyertaan daripada enam buah sekolah rendah dengan keseluruhan 89 kumpulan pelajar.

Program ini merupakan aktiviti ketiga dan penutup bagi siri STI 100³ MOSTI: STEM X-CITE, selepas dua aktiviti terdahulu yang telah dilaksanakan di sekolah. Inisiatif ini diketuai oleh Pn. Yuhaniz Ahmad bersama tiga pensyarah School of Quantitative Sciences (SQS) iaitu Dr. Ayu Abdul Rahman, Pn. Norhafiza Mohd Noor dan Cik Zakiah Hashim.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh En. Rozaini bin Othman, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Program turut diserikan dengan Ceramah STEM yang disampaikan oleh Dr. Saadi Ahmad Kamaruddin yang menekankan kepentingan kreativiti, inovasi dan kemahiran penyelesaian masalah dalam bidang kejuruteraan dan reka bentuk struktur.

Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Kebangsaan Padang Pekan yang menghantar 15 kumpulan murid Tahun 6 melibatkan 60 orang murid dan diiringi lima orang guru. Delegasi sekolah tersebut diketuai oleh Puan Suriani Shoeb, Guru Kelab STEM, serta turut dihadiri oleh Guru Besar, En. Nik Mohd Jafrizal bin Nik Abdullah.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai bidang STEM serta suasana persaingan sihat dalam pertandingan berasaskan reka bentuk dan kejuruteraan.

Selain itu, penganjuran di kampus UUM memberi peluang kepada murid untuk merasai sendiri persekitaran universiti, sekali gus menyemai aspirasi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang STEM pada masa hadapan.

Pertandingan kali ini menampilkan dua komponen utama. Aktiviti pertama melibatkan pembinaan struktur menggunakan straw dan penyambung (connectors) berdasarkan syarat dan tema yang ditetapkan. Aktiviti ini menguji kefahaman konsep asas kejuruteraan struktur, kestabilan binaan, kreativiti, pengurusan masa serta kerjasama berpasukan.

Aktiviti kedua pula merupakan cabaran peringkat sekolah, di mana setiap sekolah perlu membentuk sebuah bandar mini menggunakan 10 binaan terbaik yang dipilih oleh guru masing-masing. Cabaran ini menilai aspek integrasi struktur, perancangan sistematik serta keupayaan murid membentangkan idea secara tersusun.

Dalam pertandingan tersebut, SK Padang Pekan berjaya meraih lima hadiah bagi kategori binaan terbaik. Walau bagaimanapun, sekolah berkenaan tidak memenangi kategori binaan bandar terbaik. Secara keseluruhannya, kreativiti dan komitmen murid-murid jelas terserlah sepanjang pertandingan berlangsung.

Sebagai penutup program, para peserta turut dibawa melawat sekitar kampus UUM termasuk kawasan ternakan rusa dan burung unta, yang menambah nilai pengalaman pembelajaran luar bilik darjah dalam suasana universiti sebenar.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuh agenda pendidikan STEM di peringkat akar umbi serta menyokong usaha memperkasa generasi muda ke arah pembentukan modal insan berkemahiran tinggi. – Dr. Ayu Abdul Rahman & Pn. Yuhaniz Ahmad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button