Bengkel EDBM pastikan keberkesanan penuhi keperluan industri
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 16 Mac 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Bengkel Pemantapan dan Silibus Kursus bagi Program Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan (EDBM) selama dua hari pada 12 Mac lalu di Bilik Mesyuarat Kedah.
Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, bengkel ini bertujuan untuk memperkukuhkan silibus kursus bagi memastikan kesesuaian dan keberkesanannya dalam memenuhi keperluan industri serta perkembangan semasa.
Menurutnya, program yang melibatkan staf akademik dan pengurusan ini memberikan ruang untuk sesi perbincangan dan penambahbaikan terhadap kandungan dan struktur kursus yang ditawarkan.
Semua peserta turut terlibat dalam pembentangan dan sesi brainstorming bagi mengemukakan idea dan cadangan untuk penambahbaikan silibus supaya lebih relevan dengan cabaran dan keperluan dunia perniagaan masa kini.
Selain itu, bengkel ini juga memberikan peluang kepada semua yang terlibat untuk memperkukuh kerjasama antara staf pengajaran dan penyelaras dalam memperkasa kualiti pendidikan yang ditawarkan di SBM.
Keputusan yang dicapai dari bengkel ini diharapkan dapat mempertingkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di dalam program EDBM, sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pelajar.