Campus

Bengkel Generative AI tingkat produktiviti dan komunikasi staf pentadbiran OYAGSB

Berita dan gambar Rozita Ramli

SINTOK, 2 November 2025: Semua staf pentadbiran Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah menyertai Bengkel Generative AI untuk Produktiviti Pejabat yang diadakan di Makmal Eksekutif TISSA, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bengkel ini dikendalikan oleh Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee, dengan tujuan untuk memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan generatif (Generative AI) dalam meningkatkan kecekapan kerja serta komunikasi profesional di tempat kerja.

Sepanjang sesi berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aplikasi AI yang boleh membantu dalam penyediaan laporan, penulisan dokumen rasmi, penjanaan idea kreatif, dan automasi tugasan rutin.

Selain itu, bengkel ini turut memberi penekanan terhadap cara penggunaan AI bagi mempertingkat keberkesanan komunikasi dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders), khususnya pelajar-pelajar yang merupakan pelanggan utama OYAGSB.

Peserta, Muhammad Amier Shauqi, menyatakan bahawa bengkel ini amat bermanfaat kerana telah mendedahkan beliau kepada pelbagai platform berasaskan AI yang boleh digunakan untuk memudahkan tugasan harian dan meningkatkan kecekapan kerja.

“Bengkel ini benar-benar membuka mata saya tentang potensi AI dalam membantu kami bekerja dengan lebih pantas dan teratur,” katanya.

Penyertaan ini mencerminkan komitmen OYAGSB untuk terus memperkukuh budaya kerja berasaskan inovasi digital, meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan, serta menyokong agenda transformasi universiti ke arah Smart Digital Campus.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button