Bengkel Kepengarahaan Syarikat Terbitan Universiti Awam: Undang-Undang dan Tadbir Urus perkukuh kefahaman staf UUM
Gambar Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC)
SINTOK, 6 November 2025: Seramai 50 staf Universiti Utara Malaysia (UUM) dari pelbagai pusat pengajian telah menyertai Bengkel Kepengarahaan Syarikat Terbitan Universiti Awam (Spin-Off): Undang-Undang dan Tadbir Urus anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) secara dalam talian melalui platform Webex.
Bengkel itu bertujuan memperkukuhkan kefahaman peserta mengenai peranan, tanggungjawab, dan prinsip tadbir urus korporat yang perlu diketahui oleh setiap pengarah syarikat terbitan universiti awam.
Program ini juga menjadi wadah bagi staf universiti memahami aspek perundangan yang berkaitan dengan Akta Syarikat 2016, khususnya dalam konteks entiti spin-off universiti yang semakin mendapat perhatian dalam ekosistem inovasi dan pengkomersialan.
Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah pengenalan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan pengarah syarikat, tanggungjawab fidusiari dan statutori pengarah, serta amalan terbaik tadbir urus korporat dalam konteks undang-undang Malaysia.

Pendekatan bengkel ini memberi penekanan kepada isu-isu praktikal yang sering dihadapi oleh syarikat terbitan universiti, khususnya dalam memastikan pematuhan undang-undang dan ketelusan pentadbiran.
Sesi pembelajaran disampaikan oleh tiga penceramah berpengalaman luas dalam bidang undang-undang korporat dan tadbir urus, iaitu Dr. Aida Abdul Razak, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman, dan Prof. Dr. Ruzita Azmi. Ketiga-tiga pakar ini berkongsi pengalaman serta pandangan kritikal tentang cabaran dan peluang yang dihadapi oleh pengarah syarikat spin-off dalam konteks universiti awam di Malaysia.
Pengarah ICC, Prof. Ts. Dr. Mohd Faizal Omar berkata, bengkel ini merupakan antara inisiatif berterusan universiti dalam memperkasa tadbir urus korporat dan menggalakkan keberhasilan inovasi universiti ke arah pengkomersialan yang beretika dan mampan.
Beliau turut menekankan bahawa peranan pengarah syarikat bukan sekadar memimpin, tetapi juga memastikan setiap keputusan perniagaan dibuat secara berhemah, berintegriti dan berpaksikan undang-undang dan tadbir urus korporat.
Bengkel ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga universiti yang terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat terbitan universiti, penyelidikan serta pengkomersialan hasil inovasi.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat membantu UUM melahirkan lebih ramai pengarah syarikat yang bukan sahaja kompeten dalam bidang kepakaran masing-masing, tetapi juga celik undang-undang dan berdaya saing di peringkat global. – Prof Madya Dr. Ani Munirah Mohamad



