Campus

Bengkel pembangunan modul dan permainan kem JOMKira: Langkah Proaktif Perkasa Matematik di SK Felda Laka Selatan

Berita dan gambar oleh Dr. Mohd Azri Pawan Teh

SINTOK, 14 Jan 2026: Penganjuran Bengkel Pembangunan Modul dan Permainan untuk Kem JOMKira yang berlangsung dari 12 hingga 14 Januari 2026 di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi titik tolak penting bagi projek penyelidikan inovasi bertajuk “Strengthening the Core Concepts of Basic Operations in Mathematics in Felda Laka Selatan Primary School via JOMKira Camp”.

Bengkel yang dilaksanakan sepanjang tiga hari ini bermatlamat untuk menghasilkan modul JOMKira yang inovatif dan interaktif dalam usaha meningkatkan penguasaan operasi asas Matematik dalam kalangan pelajar luar bandar.

Penganjuran bengkel ini merupakan antara aktiviti utama di bawah Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS). SIGS ini mempunyai empat objektif utama, antaranya (i) mereka bentuk modul Matematik yang interaktif dan sesuai dengan keperluan pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6, (ii) melaksanakan kem JOMKira tersebut melalui sesi pembelajaran praktikal yang melibatkan penyertaan aktif pelajar, guru dan ibu bapa, (iii) memperkasakan penglibatan guru dan ibu bapa bagi menyokong pembelajaran anak-anak di rumah dan (iv) menilai keberkesanan kem JOMKira melalui ujian pra dan pasca.

Keupayaan untuk merealisasikan keempat-empat objektif tersebut diperkukuhkan dengan penglibatan barisan lima orang penyelidik yang diketuai oleh Dr. Mohd Azri Pawan Teh. Beliau dibantu oleh penyelidik-penyelidik lain iaitu Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz, Prof. Madya Dr. Zakiyah Zain, Dr. Ayu Abdul Rahman, dan Dr. Nur Azulia Kamarudin.

Gabungan kepakaran dalam bidang Statistik dan pedagogi daripada pasukan ini bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang mempunyai asas pengetahuan yang kukuh serta mudah diterima oleh pelajar.

Selain penyelidik-penyelidik SQS, bengkel ini juga mendapat sentuhan kepakaran daripada iSINA, sebuah organisasi yang terkenal dengan kaedah pengajaran kreatif dan berkesan dalam membantu pelajar menguasai kemahiran asas dengan cepat. iSINA membawa pendekatan yang terbukti berjaya dalam literasi sepertin Kem JOMBaca dan penganjuran Bengkel Bahasa Inggeris.

Kini, iSINA melebarkan kepakaran mereka ke dalam bidang Matematik dengan memperkenalkan kem JOMKira melalui kerjasama strategik antara SQS dan iSINA. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, kolaborasi antara UUM dan iSINA ini menjadi kunci utama bagi memastikan keberkesanan setiap modul yang dibina.

Seramai empat orang wakil iSINA telah turun padang dan terlibat sepenuhnya sepanjang tiga hari bengkel ini berlangsung. Mereka terdiri daripada Puan Rahmalizah Ali, Puan Raznizah Muhammad Sabri, Puan Rohaya Omar, dan Puan Salwa A Aziz. Kehadiran mereka amat penting bagi menyalurkan pengalaman luas dalam mengendalikan teknik pembelajaran yang menyeronokkan agar modul Matematik untuk Kem JOMkira tidak membosankan.

Sebagai kemuncak kepada bengkel ini, Kem JOMkira dijadualkan bakal dilaksanakan pada bulan April 2026 bertempat di SK Felda Laka Selatan. Hasrat utama program ini adalah untuk membantu pelajar Tahun 4, 5, dan 6 meningkatkan tahap penguasaan matematik mereka sebelum sesi akademik berakhir.

Adalah diharapkan agar modul yang dibina dengan teliti ini mampu memberikan impak yang besar, seterusnya mengubah persepsi pelajar bahawa matematik bukanlah subjek yang sukar, tetapi sesuatu yang menyeronokkan untuk dipelajari.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button