Campus

Bengkel pembangunan modul perkasa keusahawanan lestari berasaskan ESG

Gambar oleh Ahmad Faiz Jamal Abd Nazir

Batu Ferringhi, Pulau Pinang, 13 September 2025: Bengkel Pembangunan Modul bagi Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari-Memperkasa Kitar Tinggi Berasaskan ESG berjaya dianjurkan di Bayview Beach Resort, Batu Ferringhi pada 11 hingga 13 September lalu.

Inisiatif ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) yang bertindak sebagai sekretariat program. Program ini diketuai oleh Pensyarah Kanan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM, Dr. Nurakmal binti Ahmad Mustaffa.

Program Hijau Arambam Cuanxin berperanan memperkasa mahasiswa dan komuniti melalui pembangunan produk kitar tinggi yang inovatif serta berdaya saing. Usaha ini selaras dengan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sepanjang bengkel, peserta memberi fokus kepada pembangunan lima modul utama yang merangkumi Reka Bentuk Produk Kitar Tinggi, Penjenamaan Produk, Komunikasi Seorang Usahawan, Pemasaran Digital serta Pengurusan Kewangan dan Penubuhan Syarikat.

Kelima-lima modul ini akan dijadikan panduan utama kepada tenaga pengajar, fasilitator, dan peserta dalam melaksanakan latihan berasaskan teori dan praktikal, sekali gus meningkatkan keupayaan usahawan untuk bersaing dalam pasaran semasa.

Selain itu, bengkel ini turut menjadi platform kolaboratif menghimpunkan pensyarah dan penyelidik bagi berkongsi kepakaran serta pandangan. Hasilnya diharapkan dapat melahirkan modul yang holistik, berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan semasa pasaran, seiring dengan agenda kelestarian negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button