Bengkel pemerkasaan proposal komuniti berimpak tinggi perkukuh jalinan UUM–USM
Berita dan gambar oleh Noor Farishah Abdul Radzak
PULAU PINANG, 4 Oktober 2025: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Proposal Komuniti Berimpak Tinggi selama tiga hari dua malam bermula 2 hingga 4 Oktober 2025 bertempat di Bahang Bay Hotel, Pulau Pinang.
Bengkel ini bertujuan membantu para penyelidik UUM menyiapkan proposal lengkap serta melakukan persediaan rapi bagi sesi pitching projek komuniti dengan bimbingan pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Pakar pembimbing utama, Encik Muhamad Nur Hazim bin Mazlan dari USM bersama tiga orang pembantu pakar, telah memberikan panduan mendalam berasaskan pengalaman mereka dalam pembangunan projek komuniti dan penilaian geran industri. Turut hadir memberikan sokongan ialah Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah CUIC, UUM serta Prof. Madya Dr. Nor Idayu binti Mahat, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UUM.
Sepanjang bengkel, lima proposal geran komuniti dan sepuluh penyelidik berjaya menambah baik serta menyesuaikan struktur dan kandungan proposal masing-masing agar selaras dengan kehendak dan keutamaan pihak industri pemberi dana.
Menurut Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, penganjuran bengkel seperti ini bukan sahaja meningkatkan mutu intelektual dan profesionalisme penyelidik, malah memperkukuh hubungan strategik antara universiti ke arah mempertingkatkan kualiti projek komuniti di Malaysia.
“UUM mempunyai ramai penyelidik yang menjalankan penyelidikan projek komuniti sebelum ini, dan hasrat universiti ialah untuk mengetengahkan projek-projek tersebut bagi membida geran yang lebih besar serta berimpak tinggi,” kataya.
Menurutnya lagi, bengkel ini diadakan sebagai usaha pemerkasaan bagi memastikan setiap cadangan projek mencapai standard yang tinggi. Sebanyak lima kumpulan penyelidikan telah dipilih menyertai bengkel ini hasil daripada sesi saringan terdahulu yang melibatkan 11 calon projek komuniti. Lima kumpulan yang terpilih mewakili tiga tema utama iaitu pendidikan, sosioekonomi, dan persekitaran. Kerjasama antara UUM dan USM ini menjadi platform terbaik untuk memperkasa idea dan inovasi penyelidik dalam melaksanakan projek komuniti yang memberi impak sebenar kepada masyarakat.
Majlis penutupan bengkel disempurnakan dengan sesi bergambar kenang-kenangan antara warga UUM dan USM. Penganjuran bengkel ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama antara universiti tempatan dalam memperkukuh peranan akademia sebagai peneraju pembangunan komuniti berimpak tinggi di Malaysia.