Campus

Bengkel Persediaan Mengajar Semester A252 SOL pastikan kualiti PdP

Berita dan gambar Dr. ‘Ain Husna Mohd Arshad

SINTOK, 15 Mac 2026: Semangat untuk memulakan semester baru jelas terasa apabila pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) berkumpul bagi menjayakan Bengkel Persediaan Mengajar Semester A252 yang diadakan Selasa lalu.

Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Bt Abdul Wahab berkata, bengkel ini bertujuan memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran berada pada tahap tertinggi menjelang pembukaan sesi akademik akan datang.

Menurutnya, bengkel ini memfokuskan kepada penyelarasan dokumen akademik dan pemantapan bahan pengajaran.

“Antara agenda utama yang telah dibincangkan termasuklah Dokumen Pengajaran QP 005 bagi memastikan setiap fail kursus mematuhi prosedur kualiti universiti.

“Di samping itu pensyarah-pensyarah juga digalakkan untuk mengemaskini Scheme of Work (SoW) di dalam OBE bagi tujuan rancangan pengajaran dan penyelarasan jadual mingguan mengikut aktiviti dan kuliah yang dijalankan,” katanya.

Dr. Harlida mengingatkan pensyarah untuk sentiasa memberi tumpuan kepada Continuous Quality Improvement (CQI) iaitu elemen penting yang memastikan kitaran penyampaian pendidikan sentiasa berkualiti dan ditambahbaik.

Turut diingatkan adalah berkenaan dengan kepatuhan terhadap prosedur pengurusan peperiksaan bagi mengekalkan kualiti akademik.

Pensyarah-pensyarah juga turut mengemaskini rubrik untuk tugasan dan menambahbaik kriteria penilaian bagi memastikan ketelusan dan proses pemarkahan mencapai objektif yang sebenar. Seterusnya mengemaskini bahan pembelajaran di platform online learning bagi menyokong aktiviti pembelajaran.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Dr. ‘Ain Husna Mohd Arshad selaku fasilitator, di samping peserta-peserta lain yang turut berkongsi ilmu dan kemahiran, termasuklah Prof. Madya Dr. Nor Azlina Mohd Noor yang memberikan input teknikal dan bimbingan kepada rakan-rakan pensyarah yang lain.

Bengkel diakhiri dengan suasana penuh optimis memperlihatkan komitmen warga pendidik SoL untuk memberikan yang terbaik buat pelajar bagi Semester A252 ini, serta agihan bubur lambuk Sri Sintok.

Turut hadir, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button