Campus

Bengkel TIPS 2026 SAPSP perkasa penulisan dan penerbitan akademik

Berita dan gambar Khairul Anuar Ahmad

SINTOK, 15 Februari 2026: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel TIPS SAPSP 2026 pada 10 dan 11 Februari lalu di DKG 2/9 yang merupakan kesinambungan daripada Bengkel TIPS SAPSP 2025 sebelum ini.

Bengkel ini telah menampilkan Pengarah Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan sebagai penceramah jemputan.

Pensyarah Kanan SAPSP, Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok berkata,  program ini merupakan inisiatif berstruktur SAPSP yang menyokong pemantapan ekosistem penerbitan berimpak serta pengukuhan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, usaha ini dilaksanakan bagi membudayakan dan memperkukuh amalan penerbitan berimpak tinggi sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan kualiti serta impak penerbitan ilmiah.

Sepanjang bengkel berlangsung,  peserta didedahkan kepada strategi penulisan ilmiah yang berkesan, proses dan ekosistem penerbitan akademik, pemilihan jurnal berimpak tinggi, serta amalan terbaik dalam meningkatkan kebolehterbitan manuskrip.

Sesi turut memberi penekanan terhadap aspek teknikal, struktur penulisan yang sistematik, serta etika penerbitan bagi memastikan hasil penulisan memenuhi piawaian dan standard akademik.

Bengkel ini menggunakan pendekatan interaktif dan berfokus dengan penglibatan aktif peserta melalui perbincangan dua hala, dan sesi soal jawab secara berstruktur.

Keseluruhan pelaksanaan bengkel telah memperkukuh proses pembelajaran, sekali gus meningkatkan kefahaman, kemahiran serta keyakinan peserta dalam menghasilkan penulisan akademik yang lebih berkualiti dan berimpak.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button